Raja Perlis titah hentikan spekulasi susulan pelantikan Menteri Besar baharu

ARAU: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menitahkan agar semua spekulasi, tohmahan serta perkara tidak diingini dihentikan susulan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah daripada Bersatu sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu pada Ahad.

Baginda bertitah, kebiasaannya Majlis Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Menteri Besar diadakan setiap lima tahun, namun situasi kali ini berbeza berikutan peletakan jawatan Menteri Besar sebelum ini atas faktor kesihatan yang memerlukan pelantikan baharu dilakukan.

“Pelbagai spekulasi, tohmahan dan tuduhan telah timbul. Beta berharap semua perkara tersebut dapat dihentikan demi kebaikan negeri ini,” titah baginda pada Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis di Bilik Hijau, Istana Arau.

Tuanku Syed Sirajuddin menegaskan bahawa keputusan melantik Abu Bakar dibuat selepas pertimbangan mendalam serta mengambil kira pandangan wakil-wakil rakyat di negeri itu.

Sehubungan itu, baginda menyeru agar semua wakil rakyat menerima keputusan tersebut dan bekerjasama demi kepentingan rakyat serta pembangunan Perlis pada masa hadapan.

“Kebanyakan wakil rakyat memaklumkan bahawa mereka menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada beta dan sanggup menerima sesiapa sahaja.

“Beta juga bertanya mengenai hubungan antara dua parti dan bagaimana untuk merapatkan kembali kerjasama supaya dapat berfungsi sebagai satu pasukan. Semua telah menerima hakikat bahawa kerjasama perlu diteruskan demi negeri dan rakyat,” titah baginda.

Baginda turut menitahkan semua ADUN Perikatan Nasional (PN) di Perlis agar kembali bersatu dan bekerjasama sebagai satu pasukan demi kepentingan negeri dan rakyat.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Sirajuddin menzahirkan penghargaan kepada Mohd Shukri Ramli atas khidmat beliau sebagai Menteri Besar Perlis selama tiga tahun.

Pada majlis berkenaan, Abu Bakar dilantik sebagai Menteri Besar Perlis Kesembilan dan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Raja Perlis pada jam 4.04 petang.

Pelantikan itu susulan peletakan jawatan Mohd Shukri, yang juga ADUN Sanglang, secara sukarela atas faktor kesihatan seperti diumumkan pada 25 Disember lalu.

Sebelum ini, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan mengumumkan kekosongan luar jangka bagi kerusi Chuping, Bintong dan Guar Sanji selaras dengan Fasal (1)(a)(ii) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.

Kekosongan tersebut berlaku selepas Pas pada 24 Disember lalu mengumumkan keahlian tiga ADUNnya, iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), terhenti berikutan tindakan mereka menarik balik sokongan terhadap Mohd Shukri.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Perikatan Nasional menguasai 14 daripada 15 kerusi DUN Perlis, dengan Pas memenangi sembilan kerusi dan Bersatu lima kerusi, manakala Pakatan Harapan menerusi PKR memenangi satu kerusi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat