KUALA LUMPUR: Beberapa laluan utama di sekitar Bukit Bintang akan ditutup sementara pada 1 dan 3 Januari ini bagi memberi laluan kepada penganjuran Festival ‘I LITE U’, acara pembukaan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, penutupan jalan akan dilaksanakan sempena raptai penuh pada 1 Januari bermula pukul 6 petang hingga selesai.
Menurut beliau, penutupan penuh melibatkan Jalan Bukit Bintang dari Pavilion Kuala Lumpur hingga ke Hotel Federal.
“Acara rasmi festival pula dijadualkan berlangsung pada 3 Januari dari pukul 7.30 hingga 10 malam dan turut melibatkan penutupan penuh laluan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau menjelaskan bahawa festival tersebut merangkumi dua komponen utama, iaitu majlis perasmian yang berlangsung di dalam Pavilion Kuala Lumpur serta majlis pelancaran berbentuk perarakan budaya di sepanjang Jalan Bukit Bintang.
Tambahnya, seramai 20 kontinjen akan mengambil bahagian dalam perarakan itu, termasuk tujuh kontinjen pancaragam yang akan berarak sejauh kira-kira 900 meter dari Pavilion ke hadapan Hotel Federal sehingga ke persimpangan Jalan Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail.
Dalam pada itu, pihak Pavilion bersama penganjur akan menyediakan pelekat khas kepada kenderaan VIP dan VVIP bagi tujuan parkir, manakala semua urusan penutupan jalan akan dikendalikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Baca juga:








