Di sebalik protokol dan persidangan, detik kecil PMX gamit senyuman rakyat


Oleh: Aliyaa Azmi

KUALA LUMPUR: Di sebalik jadual padat persidangan, protokol rasmi dan keputusan-keputusan besar negara, terselit momen-momen kecil yang mencuit hati dan memperlihatkan sisi insan seorang Perdana Menteri.

Video rangkuman comel sepanjang tahun 2025 memaparkan perjalanan tugas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau lebih mesra disapa PMX, yang bukan sekadar serius di meja rundingan, tetapi juga dekat di hati rakyat.

Antara detik mencuri perhatian ialah ketika PMX merakamkan penghargaan kepada pemain muzik tradisional sempena majlis makan malam ASEAN. Ucapan ringkas tetapi penuh makna itu jelas mencerminkan apresiasi beliau terhadap seni dan budaya tempatan.

Dalam rakaman yang sama, Anwar dilihat beramah mesra dengan murid-murid sekolah apabila beliau bertanya secara spontan tentang kelengkapan sekolah yang masih belum mencukupi.

Jawapan jujur seorang murid sekolah rendah yang berseloroh mengatakan sekolah mereka “tak ada gim” mencetuskan gelak tawa semua yang hadir termasuk PMX sendiri.

Suasana semakin santai apabila Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menghadiahkan dua pasang baju Melayu kepada PMX. Gurauan spontan turut tercetus apabila PMX mengusik Syed Saddiq tentang penyanyi dan pelakon tanah air, Bella Astillah, sebelum Syed Saddiq berseloroh mengatakan artis itu “miliknya”.

Keakraban antara kedua-dua figura ini jelas terpancar, memperlihatkan kematangan politik walaupun berlatarbelakangkan perbezaan ideologi.

Tidak kurang menarik, video-video PMX bersalaman dan bergurau mesra dengan pemimpin negara ASEAN lain turut menonjolkan hubungan akrab dan diplomasi serantau yang harmoni.

PMX juga kelihatan menyantuni masyarakat pelbagai kaum, beramah mesra dengan komuniti India dan Cina sekali gus mencerminkan wajah Malaysia yang majmuk dan harmoni di bawah kepimpinannya.

Seperti yang dinukilkan dalam kapsyen video itu:

“Di sebalik persidangan, protokol dan keputusan-keputusan besar, detik-detik kecil inilah yang membekas dalam hati dan menguatkan langkah untuk terus bekerja.”

Insya-Allah, amanah besar ini terus dipikul dengan hati yang dekat dengan rakyat kerana kepimpinan bukan hanya tentang dasar, tetapi juga tentang sentuhan kemanusiaan” tulisnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat