Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Kemelut politik yang kian parah di Perlis menjadi simbolik kepada kegagalan kepimpinan PAS.
Naib Presiden Parti Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata kegagalan itu khususnya berpunca daripada tatakelola Presiden PAS, Tan Sri Hadi Awang dalam mengurus kuasa, disiplin parti serta amanah rakyat.
Beliau berkata krisis berkenaan bukan berpunca daripada tekanan luar atau musuh politik, sebaliknya tercetus hasil keputusan dan tindakan dalaman PAS sendiri.
Menurut beliau, meskipun individu yang berdepan proses mahkamah berhak mendapat keadilan dan prinsip kedaulatan undang-undang perlu dihormati, isu sebenar di Perlis tidak berkait dengan prosiding kehakiman, sebaliknya melibatkan percanggahan serius dalam kepimpinan politik PAS.

Mahfuz berkata, apabila Presiden PAS secara terbuka membangkitkan isu projek yang didakwa tidak mengikut peraturan serta mempunyai unsur rasuah, rakyat berhak mengharapkan tindakan yang tegas, berfakta dan telus.
“Namun, tuduhan berat itu tidak disusuli penjelasan yang jelas atau proses yang terbuka. Sebaliknya, ia diikuti pula dengan naratif bahawa Menteri Besar dizalimi,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.
Tegasnya, Presiden PAS tidak seharusnya berada di antara dua posisi bercanggah, iaitu mencetuskan keraguan terhadap integriti pentadbiran negeri dan pada masa sama tampil mempertahankan pihak yang sama.
“Ini bukan kepimpinan yang konsisten, tetapi mengelirukan rakyat.
“Semua keputusan ini berlaku di bawah kepimpinan Presiden PAS dan tidak boleh dipisahkan daripada tanggungjawab beliau,” tambahnya.
Tambah beliau, sekiranya Presiden PAS benar-benar berwibawa sebagai pemimpin tertinggi parti dan tokoh agama, keutamaan seharusnya diberikan kepada usaha menstabilkan pentadbiran negeri dan mencari penyelesaian dalaman secara matang.
Mahfuz berkata krisis berkenaan turut mencerminkan kegagalan PAS memisahkan kepentingan politik, peribadi dan pengurusan parti, sekali gus menjejaskan imej kerajaan negeri serta menghakis keyakinan rakyat terhadap keupayaan PAS mentadbir secara berintegriti dan profesional.
“Rakyat Perlis tidak memerlukan retorik atau kenyataan bercanggah, sebaliknya mahukan kepimpinan yang berani bertanggungjawab dan sanggup mengakui kesilapan,” katanya.
Baca juga:







