Bekas Calon Bebas, Ismail Ayob Kini Wakili BN Di Lamag

KOTA KINABALU: Mohd Ismail Ayob, yang bertanding sebagai calon BEBAS pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah lalu, diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag yang dijadualkan berlangsung pada 24 Januari depan.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin, pada Majlis Bersama Media di Bangunan UMNO Sabah, di sini, pada Selasa.

Menurut Jafry, pemilihan Mohd Ismail dibuat mengambil kira keputusan PRN17 yang baru berakhir, sekali gus mendorong BN Sabah memilih pendekatan calon perpaduan bagi PRK DUN Lamag.

Beliau berkata, langkah tersebut selari dengan prinsip tadbir urus politik yang menekankan pengurangan konflik, pembinaan konsensus serta kestabilan sebagai asas kepada pentadbiran dan pembangunan jangka panjang negeri.

“Berdasarkan pertimbangan ini, BN Sabah mencalonkan Mohd Ismail Ayob sebagai calon perpaduan melalui kapasiti keahlian terus BN.

“Pencalonan ini merupakan strategi politik berasaskan institusi bagi memperkukuh kerjasama lebih menyeluruh, merapatkan jurang politik dan memastikan kesinambungan agenda pembangunan rakyat dapat dilaksanakan tanpa gangguan ketidaktentuan politik,” katanya.

Jafry berkata, pengukuhan kedudukan BN di kawasan Kinabatangan bukan sekadar persaingan pilihan raya, sebaliknya satu keperluan strategik bagi memastikan kestabilan politik negeri serta kesejahteraan rakyat.

Tambah beliau, pendekatan itu turut selari dengan semangat Kerajaan Perpaduan yang menekankan kemakmuran, kerjasama dan tadbir urus berasaskan konsensus.

Dalam pada itu, Jafry yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, menegaskan BN Sabah menghormati kepelbagaian pandangan yang dizahirkan semua pihak dan berpandangan perbezaan pendapat adalah lumrah dalam sistem demokrasi.

“Namun, perbezaan ini perlu diurus secara matang, berinstitusi dan bertanggungjawab demi menjaga kepentingan rakyat serta kestabilan negeri,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada jentera akar umbi BN atas komitmen dan semangat kebersamaan mereka.

Pada majlis sama, Jafry turut mengumumkan semula pencalonan Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan, Mohd Naim Kurniawan Moktar, sebagai calon BN bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kinabatangan, seperti yang diumumkan sebelum ini oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, Mohd Naim dilihat sebagai pemimpin muda yang memenuhi keperluan kepimpinan masa hadapan melalui legitimasi organisasi, penerimaan akar umbi serta keupayaan menterjemahkan aspirasi rakyat di peringkat lapangan.

PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian penyandang kedua-dua kerusi tersebut, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, pada 5 Disember lalu.

Pada PRN17, Bung Moktar memenangi kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi selepas memperoleh 3,908 undi, menewaskan Mohd Ismail yang meraih 3,755 undi dalam pertandingan enam penjuru.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat