Ini komitmen KPM terhadap hak pendidikan lebih saksama – Fadhlina

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Memasuki tiga tahun Kerajaan Madani menggalas mandat dI Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terdapat beberapa kejayaan dan hasil daripada pelbagai inisiatif, dasar dan pelaksanaan menerusi agenda Reformasi Pendidikan Madani.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Reformasi Pendidikan berkenaan dirangka bagi menangani jurang pendidikan yang bersifat multidimensi, termasuk isu keciciran murid, ketidaksamaan akses, kekangan infrastruktur, kemudahan dan kelemahan sistemik yang kian berlarutan sekian lama.

“Sejak awal, reformasi ini memberi tumpuan kepada usaha membetulkan asas pendidikan negara supaya lebih adil, inklusif dan relevan dengan cabaran masa depan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata beliau, pendekatan bersasar dilaksanakan dengan mengambil kira keperluan sebenar setiap sekolah, sekali gus mengelakkan penyelesaian bersifat satu model untuk semua.

“Setiap sekolah dikenal pasti keperluannya. Hasilnya, semakin banyak sekolah menunjukkan peningkatan dan bilangan sekolah yang memerlukan intervensi intensif semakin berkurang,” jelasnya.

KPM dalam kenyataan yang sama memaklumkan antara pencapaian terbesar Reformasi Pendidikan Madani ialah ketika mana Rang Undang-Undang Pendidikan (Pindaan) 2025 berjaya diluluskan bagi menetapkan pendidikan menengah sebagai pendidikan wajib.

Katanya, pindaan itu memastikan setiap anak Malaysia kekal dalam sistem pendidikan sekurang-kurangnya sehingga Tingkatan Lima.

“Ini adalah komitmen negara terhadap hak pendidikan yang lebih saksama. Tiada lagi toleransi terhadap keciciran selepas Darjah Enam,” ujarnya.

Manakala, dari sudut sumber manusia, KPM berjaya melantik seramai 52,948 guru baharu, sekali gus mencapai kadar pengisian guru sebanyak 98 peratus, tertinggi dalam hampir sedekad.

“Buat pertama kali selepas bertahun-tahun, hampir setiap kelas di Malaysia mempunyai guru yang sepatutnya mengajar subjek sebenar,” katanya.

Dalam pada itu, perihal berkenaan keselamatan sekolah turut diberi keutamaan apabila 11 inisiatif sekolah selamat dilaksanakan secara serentak di seluruh negara yang melibatkan peruntukan RM5 juta bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), penempatan 10,096 guru serta kaunselor serta pelantikan 600 pembantu warden asrama.

“Keselamatan anak-anak bukan angka statistik. Ia menuntut tindakan sebenar, bukan sekadar janji,” tegas beliau.

Dalam usaha memulihkan kesan pandemik, takwim persekolahan nasional dikembalikan ke Januari bermula sesi 2026, selepas empat tahun gangguan jadual akademik.

“Keputusan ini melibatkan penyelarasan besar merangkumi peperiksaan, cuti sekolah, jadual guru dan operasi sekolah seluruh negara, namun ia adalah keperluan yang telah lama disuarakan ibu bapa dan warga pendidik,” katanya.

Selain itu, berkenaan dengan penguasaan asas pembelajaran, data KPM menunjukkan peningkatan ketara dalam kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M), dengan jumlah murid yang menguasainya meningkat kepada 398,496 orang hasil intervensi bersasar.

“Kami tidak menafikan ada murid yang tercicir akibat pandemik.

“Tetapi yang lebih penting, kini puluhan ribu murid berjaya kembali menguasai asas pembelajaran,” jelas Fadhlina.

Selain itu, reformasi beban tugas guru pula menyaksikan pelantikan 562 pembantu guru, penempatan 600 pembantu warden MySTEP serta penstrukturan semula Rancangan Pengajaran Harian (RPH).

“Guru bukan pekerja serba boleh. Mereka perlu diberi ruang untuk mengajar, bukan dibebankan dengan tugasan luar akademik,” ujarnya.

Dari segi pembangunan infrastruktur pendidikan negara pula, sebanyak 44 sekolah baharu siap dibina pada 2025, selain 44 projek pemulihan sekolah daif berjaya disiapkan.

“Murid kini belajar di bilik darjah yang selamat, kemudahan yang bersih dan persekitaran yang benar-benar kondusif,” ujarnya.

Melangkah ke hadapan, Fadhlina berkata Kurikulum Persekolahan 2027, Kurikulum Prasekolah 2026 dan Pelan Pembangunan Pendidikan 2026–2035 akan menjadi asas kepada hala tuju pendidikan negara untuk dekad seterusnya.

“Perjalanan reformasi ini masih panjang, tetapi dengan iltizam bersama dan hala tuju yang jelas, kita yakin pendidikan negara akan terus melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berintegriti,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat