KUALA LUMPUR: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) berpandangan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mendedahkan krisis kepimpinan dan ketidaktentuan hala tuju gabungan pembangkang itu yang semakin ketara.
Setiausaha AMK, Omar Mokhtar berkata perkembangan tersebut mencerminkan kegagalan PN mengurus konflik dalaman serta perbezaan pandangan antara parti komponennya secara matang dan berhemah.
AMK merujuk kepada polemik pelantikan Menteri Besar Perlis susulan episod penyingkiran Menteri Besar daripada PAS sebagai antara bukti jelas kegagalan PN bertindak tegas serta menghormati proses dan institusi yang menjadi asas kestabilan politik negara.
“Realiti politik semasa menunjukkan PN terus dibelenggu perebutan kuasa dan konflik dalaman, sekali gus menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keupayaan pembangkang menawarkan alternatif tadbir urus yang stabil dan meyakinkan,” katanya.

AMK turut menyatakan bahawa pendirian beberapa pimpinan utama PAS yang secara terbuka menolak kerjasama dengan Bersatu menyerlahkan keretakan serius dalam PN, sekali gus mengesahkan wujudnya krisis kepercayaan dan kesepaduan dalam gabungan berkenaan.
Dalam pada itu, AMK menegaskan rakyat kini mengharapkan kepimpinan yang stabil, berintegriti dan memberi tumpuan kepada agenda utama rakyat, termasuk pemulihan ekonomi, kos sara hidup, peluang pekerjaan serta masa depan generasi muda.
“Politik yang sarat dengan konflik dan percaturan kuasa hanya mengalihkan perhatian daripada keperluan sebenar rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, AMK menyeru semua parti komponen dalam Kerajaan MADANI agar terus memperkukuh kesatuan, kepercayaan dan kerjasama demi memastikan kestabilan politik serta kemaslahatan rakyat.
AMK turut menegaskan komitmen untuk menyokong usaha Kerajaan MADANI dalam menjunjung Perlembagaan Persekutuan, menghormati institusi Raja-Raja Melayu serta menolak sebarang bentuk politik yang mencetuskan ketidaktentuan dan perpecahan.
Menurut AMK, pergolakan berterusan dalam PN wajar dijadikan pengajaran bahawa kestabilan dan kesepakatan merupakan prasyarat utama untuk memimpin negara dengan berkesan.
“Kami percaya rakyat mampu menilai kepimpinan berdasarkan prestasi, nilai dan keupayaan sebenar, bukan sekadar retorik atau percaturan kuasa,” katanya lagi.
Baca juga:








