Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Malaysia memberi kebenaran bebas bagi meneruskan usaha terbaharu pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 2014 menerusi operasi yang diterajui firma robotik berpangkalan di Texas, Amerika Syarikat, Ocean Infinity.
Perkara itu disahkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), yang berkata kebenaran itu diberikan melalui kontrak berasaskan prinsip “tidak jumpa, tiada bayaran” sekali gus memastikan kerajaan tidak menanggung sebarang kos sekiranya pencarian gagal membuahkan hasil.
“Kerajaan kekal komited untuk meneruskan usaha yang munasabah bagi mencari MH370 dan memberikan penutup kepada keluarga mangsa tragedi ini,” menurut kenyataan MOT.
Kata MOT, berdasarkan perjanjian tersebut, Ocean Infinity hanya akan menerima bayaran sebanyak AS$70 juta, atau kira-kira RM283.3 juta, sekiranya bangkai pesawat berkenaan berjaya ditemui.
Dalam pada itu katanya, fasa baharu pencarian itu dijangka berlangsung sehingga 55 hari dan akan menumpukan kawasan carian yang lebih kecil, iaitu sekitar 5,800 batu persegi di selatan Lautan Hindi.
Ocean Infinity memaklumkan pihaknya akan menggunakan kenderaan bawah air autonomi (AUV) yang mampu menyelam sehingga 6,000 meter dan beroperasi secara berterusan selama beberapa hari tanpa perlu timbul ke permukaan.
“Teknologi ini membolehkan pemetaan dasar laut dilakukan dengan lebih terperinci dan tepat,” katanya.
Difahamkan, Dron bawah air berkenaan dilengkapi dengan sonar imbasan sisi beresolusi tinggi, pengimejan ultrabunyi, serta magnetometer, bagi menghasilkan pemetaan dasar laut dalam bentuk tiga dimensi serta mengesan serpihan tertimbus dan kesan logam.
Sepanjang pencarian Malaysia beberapa tahun yang lalu, hanya serpihan pesawat MH370 pernah ditemui sejak 2015, dengan kurang daripada 30 kepingan dikenal pasti, termasuk bahagian sayap, gear pendaratan dan badan pesawat yang terdampar di pantai sejauh ribuan kilometer, dari Pulau Reunion hingga ke Mozambique.
Namun begitu, tiada sebarang mayat pernah ditemui setakat ini.
Sehinggakan negara banyak kali mendapat tekanan daripada ahli keluarga mangsa dari China, Australia, Eropah dan beberapa negara lain terus mendesak agar pencarian diteruskan, memandangkan pengesahan penemuan bukan sahaja penting untuk keluarga mangsa, malah berkait rapat dengan keselamatan penerbangan global.
Terdahulu, negara dihangatkan malah dunia juga apabila sebuah pesawat MH370 berlepas dari Kuala Lumpur selepas tengah malam pada 8 Mac 2014 menuju ke Beijing dalam penerbangan enam jam yang dijadualkan berjalan lancar.
Bagaimanapun, kurang daripada sejam kemudian, transponder pesawat Boeing 777 itu terpadam, menyebabkan ia hilang daripada radar awam.
Laporan turut memaklumkan, paparan radar tentera kemudian menunjukkan pesawat tersebut berpatah balik secara mendadak ke arah barat, melintasi semula ruang udara Malaysia sebelum menuju ke selatan merentasi Lautan Hindi yang luas.
Baca juga:








