PUTRAJAYA: Ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan dengan inflasi sederhana, pasaran buruh yang kukuh serta prestasi stabil merentasi sektor utama, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, berkata ekonomi negara mencatat pertumbuhan kumulatif 4.7 peratus bagi tiga suku pertama 2025, disokong permintaan domestik yang berdaya tahan walaupun lebih sederhana berbanding 5.2 peratus tempoh sama tahun lalu.
“Sektor Perkhidmatan kekal sebagai pemacu utama ekonomi, manakala sektor Pembuatan berkembang secara sederhana dan Pembinaan terus mencatat pertumbuhan kukuh,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya lagi, prestasi perindustrian negara turut mengukuh apabila Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 6.0 peratus tahun ke tahun pada Oktober 2025, dipacu sektor Pembuatan yang berkembang 6.5 peratus.
“Nilai jualan pembuatan pula meningkat kepada RM171.7 bilion, disokong pertumbuhan kukuh subsektor Elektrik dan Elektronik.
“Sektor Perkhidmatan terus menunjukkan daya tahan dengan jumlah jualan perdagangan borong dan runcit meningkat 7.2 peratus kepada RM160.9 bilion.
“Prestasi ini disokong aktiviti komersial yang rancak serta permintaan pengguna yang stabil,” katanya.

Dalam pada itu, Uzir menambah momentum positif sektor Perkhidmatan mencerminkan kekuatan perbelanjaan domestik dan keyakinan pengguna yang berterusan.
Katanya, perdagangan luar Malaysia mencatat pertumbuhan memberangsangkan apabila jumlah perdagangan meningkat 13.6 peratus kepada RM277.6 bilion pada Oktober 2025.
Eksport juga meningkat 15.7 peratus manakala import naik 11.2 peratus, dengan lebihan dagangan kekal positif.
Baca juga:








