PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa 1 Januari, mencetuskan gelombang perubahan kepimpinan dalam gabungan pembangkang itu.
Tindakan Muhyiddin diikuti beberapa pemimpin utama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang meletakkan jawatan dalam struktur PN di peringkat nasional dan negeri.
Antara yang terlibat ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Setiausaha Agung PN dan Pengerusi Badan Perhubungan PN Selangor), Datuk Dr Sahruddin Jamal (Pengerusi PN Johor), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Pengerusi PN Perak) dan Mohamad Hanifah Abu Baker (Pengerusi PN Negeri Sembilan).

Felo Majlis Profesor Negara, Dr Azmi Hassan berkata, langkah Bersatu itu dilihat sebagai tindakan balas terhadap tekanan PAS, khususnya selepas krisis politik di Perlis yang menyaksikan wakil rakyat PAS enggan terlibat dalam kerajaan negeri yang dipimpin Bersatu.
“Sekiranya PAS dan Bersatu tidak lagi bersama dalam PN, pembangkang berisiko lumpuh dan gagal berfungsi, termasuk kemungkinan menghadapi episod politik getir sekiranya Parlimen dipanggil bersidang,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.

Menurut Azmi, apa yang berlaku di peringkat negeri kini diterjemahkan ke peringkat nasional, apabila pemimpin Bersatu cuba menggoyang kestabilan PN untuk memberi tekanan kepada kepimpinan baharu yang besar kemungkinan diterajui PAS.
“Apa yang berlaku di Perlis menunjukkan PAS cuba menggoyang kerajaan negeri, dan Bersatu pula menggunakan strategi sama di peringkat nasional bagi menekan kepimpinan baru.
“Perletakan jawatan lima pemimpin Bersatu sebagai strategi balas dendam, susulan rasa tidak puas hati terhadap dominasi PAS dalam PN, termasuk pengumuman calon Perdana Menteri oleh Bersatu yang menimbulkan kemarahan PAS.
“PAS marah dengan Bersatu kerana dominasi jawatan utama, dan kita lihat Bersatu balas dengan menarik diri daripada jawatan PN
Tindakan itu juga memberi tekanan kepada kepimpinan baharu PN dan memberi isyarat bahawa Bersatu tidak akan mudah tunduk kepada dominasi PAS dalam gabungan berkenaan” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menambah, kemungkinan terdapat lebih ramai pemimpin Bersatu akan mengikuti jejak langkah peletakan jawatan dalam masa terdekat, termasuk ADUN Bersatu yang memegang jawatan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Kalau Bersatu benar-benar ingin tunjuk prinsip, mereka perlu tarik keluar ADUN dalam kerajaan negeri, bukan sekadar jawatan di peringkat PN,” katanya.
Katanya lagi, perpecahan ini juga menimbulkan keraguan terhadap hala tuju PN, di mana PAS dan Bersatu semakin sukar untuk duduk semeja, malah wujud petanda awal bahawa kedua-dua parti sedang merangka strategi politik masing-masing di luar gabungan itu.
“Situasi ini bukan sahaja melemahkan PN sebagai blok pembangkang, tetapi juga membuka ruang kepada kerajaan sedia ada untuk terus memperkukuh pentadbiran dan keyakinan rakyat,” katanya.
Baca juga:








