Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi, sebelum dunia beralih ke tahun baru, maka tirai 2025 bakal dilabuhkan.
Selepas mencipta pelbagai cerita, hikayat, tragedi dan penciptaan sejarah baharu, semuanya sarat dengan kejutan, pengajaran dan pedoman buat masyarakat sejagat.
Ini antara beberapa rangkuman atau momen terbesar di Malaysia sepanjang tahun 2025 apabila negara sekali lagi melaksanakan rombakan kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar pada 16 Disember lalu melibatkan 11 portfolio termasuk dua Menteri dan lapan Timbalan Menteri.
Anwar memaklumkan Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baharu menggantikan penyandangnya Hannah Yeoh yang bertukar portfolio sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

Manakala, enam timbalan menteri yang ‘dinaikkan pangkat’ pula ialah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir sebagai Menteri Ekonomi bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Datuk Seri Rafizi Ramli, dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustafa Sakmud mengambil tanggungjawab sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak).
Manakala landskap politik negara pada tahun ini mencipta sejarah apabila sosok wanita yang menjadi tulang belakang utama Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Nurul Izzah Anwar berjaya merangkul jawatan Naib Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti tahun ini sekali gus menewaskan penyandang jawatan, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Nurul Izzah yang mendapat julukan sebagai Puteri Reformasi telah dilantik dengan penuh mandat oleh akar umbi dan ahli-ahli partinya yang meraih undian sebanyak 9,803 undi sepertimana yang diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa pada 23 Mei lalu.

Seterusnya beralih ke meja perundangan, apabila Malaysia menyaksikan dua kes Mahkamah yang menjadi tumpuan dunia dan berkepentingan awam iaitu kes rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak berjumlah RM2.3 billion oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak serta pembebasan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Sebelum ini, media melaporkan, Najib Razak atau “Bossku” didapati bersalah atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB.
Najib kini dihadapkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion oleh Mahkamah Tinggi.

Manakala untuk kes pembebasan Syed Saddiq pula, Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 25 Jun, telah melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta bagi empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Keputusan sebulat suara itu diputuskan oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, iaitu Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.
Panel tiga hakim itu membuat keputusan sedemikian selepas membenarkan rayuan Syed Saddiq selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Tahun 2025 turut menyaksikan Malaysia telah bangkit dengan gelombang pencegahan anti-buli ketika mana “Justice For Zara” selama berbulan lamanya dilaungkan di seluruh negara susulan seorang pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Limauan, Sabah yang bernama Zara Qairina Mahathir telah ditemui tidak sedarkan diri di tepian longkang asrama sekolah itu pada 3 pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia pada 21 Julai.

Kejadian yang penuh menyayat hati itu turut mendapat perhatian nusantara dan sebahagian dunia apabila kematian Zara dikaitkan dengan pembunuhan dan pembulian yang didakwa dilakukan oleh sekumpulan para pelajar sehinggakan tuntutan keadilan kuat didesak oleh rakyat serta ibunya, Noraidah Lamat yang menggesa siasatan telus, adil dan saksama dijalankan ke demi membela kematian anak perempuannya
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek kemudian berkata, kementeriannya memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis dan memberi ruang kepada pihak terbabit menjalankan siasatan tanpa gangguan sebarang gangguan dan campur tangan politik mahupun golongan berkepentingan besar atau “Vip”.

Disebalik kesedihan terdapat jua sinar bahagia apabila, tahun 2025 menjadi saksi buat negara akan hari bahagia primadona filem legenda negara, Erra Fazira ketika usianya 51 tahun yang akhirnya sah bergelar ratu dan isteri kepada ahli perniagaan, Mohamad Ezwan Mohamad Zain dengan sekali lafaz pada pukul 9.20 di tarikh penuh keramat iaitu 12 Disember.
Pasangan sejoli itu disatukan di sebuah acara akad nikah di ruang acara Rinjani Majestic, Kampung Melayu Subang, Selangor serta dinikahkan secara sah oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Mohd Sabirin Noordin.
Pada majlis berkenaan, Ezwan menyerahkan mas kahwin berupa 24 dinar emas kepada Erra.
Kedua-dua mempelai itu turut menyatukan dua puteri daripada perkahwinan yang terdahulu iaitu Engku Aleesya dan Dania Sofia, yang turut mempunyai umur yang sama iaitu 16 tahun.
Manakala, menyelami kejayaan dunia konsert negara pada tahun 2025 ini apabila Trio legenda iaitu KRU yang dianggotai oleh Datuk Norman Abdul Halim, Datuk Yusry dan Edry kembali menghangatkan industri dengan penganjuran genKRU The Finale: One More Time di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 22 November lalu.

Konsert kelima yang berjaya memukau lebih 10,000 peminat itu berjaya mencatat rekod sejarah baharu dalam industri muzik tanah air selepas empat persembahan secara berturut-turut di Axiata Arena berjaya laris, licin dijual oleh seluruh rakyat Malaysia yang bukan sahaja peminat mereka.
Berita yang mengakhiri rangkuman tahun 2025 ini adalah apabila, ringgit Malaysia berjaya meneruskan peningkatn momentum meningkatnya apabila ia diniagakan sekitar RM 4.04 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), menjadikan antara paras tertinggi dalam tempoh hampir lima tahun.
Secara tidak langsung, prestasi cemerlang mata wang tempatan itu mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat dalam kalangan pelabur dan pedagang terhadap ekonomi Malaysia.
Menurut, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, kekuatan ringgit membuktikan dengan jelas bukan sahaja berbanding dolar AS tetapi juga berbanding mata wang serantau lain termasuk dolar Singapura.








