KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini menegaskan kandungan tular di TikTok melalui akaun “Toast Bread” yang memaparkan pelajar sekolah berhijab memegang anjing adalah hasil AI Generated dan bukan kejadian sebenar.
Menurut JAKIM, walaupun kandungan itu dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan, penyebarannya telah menimbulkan kekeliruan, keresahan dan salah faham dalam kalangan masyarakat Islam.
“Masyarakat, khususnya pencipta kandungan media sosial, dinasihatkan agar menghentikan penghasilan dan penyebaran kandungan yang menyentuh sensitiviti Islam secara tidak beretika,” kata JAKIM pada Rabu.
Jabatan itu menegaskan bahawa setiap kandungan digital, sama ada benar, rekaan atau manipulasi teknologi, tertakluk kepada tanggungjawab moral, etika dan sensitiviti agama.
Pihak JAKIM turut menasihatkan rujukan kepada Garis Panduan Kandungan Berunsur Islam Dalam Media Baharu sebelum menghasilkan atau menyebarkan sebarang kandungan.
“JAKIM menyeru ibu bapa, pendidik dan masyarakat agar memperkukuh pendidikan literasi digital dan kefahaman agama kepada generasi muda supaya lebih berwaspada terhadap kandungan media sosial yang bersifat rekaan atau manipulatif.
“Pendidikan literasi digital dan kefahaman agama penting bagi melindungi generasi muda daripada kandungan yang boleh menimbulkan kekeliruan,” tambah JAKIM.
Baru-baru ini tular di media sosial di mana terdapat satu akaun tiktok dengan nama pengguna “Toast Bread” memaparkan video murid-murid sekolah bermain dan memegang anjing.
Baca juga:








