JOHOR BAHU: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor menumpaskan kegiatan tidak bermoral melalui operasi penguatkuasaan di beberapa premis sekitar Tanjung Puteri, dekat sini pada Selasa.
Operasi ‘Ops Gegar’ itu diketuai sepasukan pegawai dari Bahagian Penguatkuasa Negeri Johor.
Menurut Pengarah Imigresen Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi berdasarkan maklumat awam dan hasil risikan, modus operandi digunakan ialah dengan menawarkan perkhidmatan seks melalui aplikasi media sosial seperti WeChat dan Telegram.
“Kadar bayaran bagi setiap perkhidmatan adalah antara RM230 hingga RM400 dan pembayaran dilakukan secara tunai.
“Hasil semakan awal mendapati seramai tujuh orang wanita warganegara China ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Kesemua mereka berusia antara 25 hingga 41 tahun. Penahanan ini dibuat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Selain itu, sebanyak enam (06) Borang 29 iaitu saman kepada saksi telah dikeluarkan sepanjang operasi bagi membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan warga asing yang menyalahi undang-undang digesa tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.
Baca juga:








