Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Pendedahan demi pendedahan kes rasuah berprofil tinggi yang melibatkan pemimpin ternama dan pegawai tinggi kerajaan berkait salah guna kuasa sangat mengecewakan.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Norhayati Nordin menegaskan senario itu secara tidak langsung mendedahkan terdapat kelemahan serius dalam pengawalan institusi atau organisasi di negara ini.
Beliau berkata, isu rasuah dan pecah amanah tidak boleh lagi dilihat secara terpisah mahupun tertumpu kepada insiden semata-mata, sebaliknya perlu dinilai sebagai pengajaran penting daripada peristiwa yang sedang dan telah berlaku.
“Apa yang berlaku jelas menunjukkan kita berdepan masalah kawalan sistem dalaman.
“Kita bukan sekadar perlu melihat kepada kejadian itu sahaja, tetapi mengambil pengajaran yang lebih besar daripada kes-kes yang berlaku,” katanya kepada Malaysia Bangkit.
Tegas beliau, menghalang rasuah dan kebobrokan perlu dibina berdasarkan dua teras utama, iaitu kekuatan sistem dalam sebuah institusi serta kekuatan individu itu sendiri.
Katanya, kelemahan nilai diri, etika dan daya tahan individu yang memegang kuasa boleh membuka ruang kepada berlakunya pecah amanah dalam sesebuah institusi atau organisasi.
“Apabila sistem nilai dan etika tidak dibina dengan kukuh, ditambah pula dengan daya tahan diri yang lemah, ia akhirnya mendorong kepada penyalahgunaan kuasa oleh individu yang diberi amanah,” ujarnya.
Pada masa sama, terdapat kepentingan serius dalam memperkukuh semula sistem dalaman institusi, khususnya dari aspek tadbir urus kewangan dan perolehan, bagi mengurangkan risiko salah guna kuasa.
Norhayati berkata, berdasarkan kes terdahulu termasuk skandal rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak serta kes baru-baru ini yang didakwa mengaitkan seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terlibat kes rasuah jelas membuktikan bagaimana kelemahan sistem kawalan boleh membawa implikasi besar kepada negara.
“Kes-kes yang berlaku menunjukkan bahawa jika sistem dalaman tidak kukuh, ia gagal mengawal institusi dan akhirnya membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing secara serius sekiranya negara benar-benar mahu melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.
Antara langkah utama yang perlu diberi perhatian menurut Norhayati, ialah memperkukuh institusi itu sendiri serta menggalakkan mereka yang terlibat secara langsung dalam organisasi untuk tampil sebagai pemberi maklumat atau ‘whistleblower’.
“Mereka yang melihat secara langsung apa yang berlaku dalam institusi perlu berani menjalankan tanggungjawab sebagai pemberi maklumat supaya ketirisan dan kebobrokan amanah dapat dibendung lebih awal,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa konflik kepentingan dan tekanan dalaman hanya boleh ditangani melalui amalan ketelusan yang konsisten dan serius.
“Apabila ketelusan tidak diamalkan, perkara seperti ini pasti akan berlaku dan akhirnya mendatangkan kerugian yang amat besar kepada negara,” ujarnya.
Tegas beliau lagi, usaha memerangi rasuah menuntut komitmen menyeluruh semua pihak, sama ada dari segi pembinaan nilai individu mahupun pengukuhan sistem, demi memastikan amanah awam terus terpelihara.
Baca juga:








