MCMC: ONSA berkuat kuasa hari ini, perkukuh perlindungan kanak-kanak

PETALING JAYA: Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) berkuat kuasa bermula hari ini sebagai rangka perundangan baharu bagi mempertingkat keselamatan dalam talian serta memperkukuh perlindungan pengguna, khususnya kanak-kanak dan institusi keluarga.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan bahawa ONSA menetapkan tanggungjawab dan kewajipan jelas ke atas pemberi perkhidmatan berlesen untuk menangani risiko serta kemudaratan dalam talian.

“Ini termasuk keperluan melaksanakan langkah keselamatan berdasarkan tahap risiko, menyediakan perlindungan khusus kepada kanak-kanak, serta mewujudkan mekanisme pelaporan dan sokongan kepada pengguna.

“Akta berkenaan terpakai kepada pemberi perkhidmatan yang memegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP), Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP) atau Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), namun tidak melibatkan pengguna individu,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

MCMC turut memaklumkan bahawa peruntukan deeming di bawah Seksyen 46A, AKM 1998 akan mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.

Susulan penguatkuasaan ONSA, semua platform media sosial yang memenuhi kriteria pelesenan akan tertakluk kepada kerangka pelesenan sedia ada dan diwajibkan mematuhi undang-undang Malaysia, termasuk peruntukan yang ditetapkan di bawah akta tersebut.

Menurut MCMC, langkah ini merupakan sebahagian daripada pendekatan kawal selia yang berstruktur dan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan platform dalam talian berskala besar yang beroperasi di Malaysia tertakluk kepada tahap pengawasan serta akauntabiliti yang wajar.

“MCMC terus bekerjasama rapat dengan pemberi perkhidmatan, ibu bapa, pendidik, agensi penguatkuasaan undang-undang, pertubuhan masyarakat sivil serta komuniti secara menyeluruh.

“… penting bagi menyokong pembentukan persekitaran dalam talian yang lebih selamat dan bertanggungjawab untuk semua pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga,” ujarnya lagi.

Maklumat lanjut mengenai Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) boleh diperoleh menerusi laman sesawang rasmi MCMC.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat