PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan tiada pilihan raya kecil (PRK) akan diadakan bagi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis susulan penarikan semula pemakluman kekosongan luar jangka oleh Speaker DUN Perlis sebelum ini.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, keputusan itu dibuat selepas DUN Perlis menarik balik notis kekosongan yang dikemukakan sebelum ini, sekali gus menyebabkan SPR tidak perlu mengadakan mesyuarat khas berkaitan pelaksanaan PRK.
“Tiada pelaksanaan PRK dan tiada keperluan untuk mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan perkara tersebut,” katanya, memetik berita tempatan pada Khamis.
Terdahulu, Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan mengumumkan kekosongan bagi kerusi DUN Bintong, Guar Sanji dan Chuping susulan penamatan keahlian tiga wakil rakyat PAS iaitu Fakhrul Anwar Ismail (Bintong), Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) dan Saad Seman (Chuping).
Ketiga-tiga ADUN berkenaan antara lapan wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) yang menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Perlis ketika itu, Mohd Shukri Ramli, yang juga ADUN Sanglang. Situasi tersebut membawa kepada peletakan jawatan Mohd Shukri pada 25 Disember lalu sebelum ADUN Kuala Perlis daripada BERSATU, Abu Bakar Hamzah, dilantik sebagai Menteri Besar baharu.
Bagaimanapun, DUN Perlis semalam menarik semula pemakluman kepada SPR Perlis berhubung keperluan mengadakan PRK bagi tiga kerusi berkenaan.
Rus’sele berkata, meskipun PRK tidak diadakan, ketiga-tiga kerusi DUN tersebut akan kekal kosong sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan terkini, termasuk pendirian PAS sebagai parti komponen PN yang memberi jaminan untuk terus komited mengekalkan kestabilan Kerajaan Negeri Perlis.
“Saya sebelum ini telah menghantar notis kepada SPR Perlis pada 29 Disember lalu memaklumkan bahawa tiga ADUN PAS berkenaan tidak lagi layak menjadi ahli Dewan mengikut Perkara 50A(1)(a)(ii) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.
“Notis itu turut menyatakan keperluan mengadakan pilihan raya semula selaras Fasal (5) Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis,” katanya.

Namun, Rus’sele berkata, susulan kenyataan media rasmi PAS yang memberi jaminan untuk terus menyokong kerajaan negeri berdasarkan mandat rakyat pada PRU15, beliau berpandangan majoriti ADUN tidak lagi terjejas.
Selain itu, komitmen Menteri Besar Perlis untuk meneruskan agenda perpaduan PN, yang masih memiliki majoriti besar iaitu 11 daripada 15 kerusi DUN, turut diambil kira dalam pertimbangan semula tersebut.
“Sehubungan itu, saya mendapati tiada keperluan untuk mengadakan pilihan raya semula bagi tiga kekosongan luar jangka berkenaan,” katanya.
Rus’sele berkata, penarikan balik pemakluman keperluan PRK itu telah dimaklumkan secara rasmi kepada SPR Perlis menerusi surat bertarikh kelmarin.
Beliau menambah, keputusan tersebut dibuat bagi menjunjung titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail agar semua ADUN PN kembali bersatu dan bekerjasama demi kepentingan negeri serta rakyat Perlis.
“Perkembangan terkini mengenai perkara ini turut dipersembahkan kepada baginda melalui warkah yang diutuskan semalam,” katanya.
Baca juga:








