Saifuddin Nasution Santuni Rider Grab dan Panda, Program Kotak MADANI

ALOR SETAR: Seramai 200 penghantar makanan daripada platform Grab dan Foodpanda diraikan menerusi Program Penyerahan Kotak MADANI Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang berlangsung di Pusat Khidmat Rakyat beliau, di sini, pada Rabu.

Program yang diadakan sempena sambutan Tahun Baharu 2026 itu bertujuan menghargai sumbangan serta pengorbanan para penghantar makanan, yang disifatkan sebagai wira jalanan kerana kegigihan mereka mencari rezeki demi kelangsungan hidup.

Sebanyak 200 kotak makanan Ready to Eat telah diserahkan kepada para rider yang hadir sebagai tanda penghargaan dan sokongan terhadap golongan berkenaan.

Menurut penganjur, sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila kira-kira 200 rider hadir, termasuk mereka yang sanggup singgah seketika walaupun sedang mengejar tempahan pelanggan.

“Suasana program berlangsung dalam keadaan meriah dan penuh keakraban, mencerminkan penghargaan masyarakat terhadap usaha gigih abang-abang dan kakak-kakak rider yang berkhidmat tanpa mengira waktu,” menurut kenyataan penganjur.

Penganjur berharap sumbangan tersebut dapat membantu meringankan keperluan harian para penerima, di samping menyuntik semangat untuk terus berusaha mencari rezeki.

Usaha kebajikan seumpama itu, menurut penganjur, akan diteruskan pada masa akan datang sebagai sebahagian daripada komitmen membantu golongan pekerja gig ekonomi dan masyarakat setempat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat