KUALA LUMPUR: Pendekatan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang menekankan pelaksanaan dan penyampaian dasar secara konsisten dilihat sebagai langkah berprinsip dalam landskap reformasi pendidikan yang sering terperangkap dengan tuntutan populariti segera dan hasil jangka pendek.
Bekas Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Amin Senin berkata pendekatan Fadhlina yang memberi keutamaan kepada pelaksanaan dasar sedia ada, khususnya Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), dilihat sejajar dengan keperluan membina perubahan lestari, berbanding memperkenalkan slogan atau penjenamaan baharu secara tergesa-gesa.
“… apabila ingatan saya melayang kembali ke hari-hari awal, saat bertemu dan duduk berbincang dengan YB Fadhlina Sidek sebelum beliau melantik saya sebagai Pengerusi MPPK 2023-2025.
“Pada pertemuan itu, saya meluahkan kebimbangan tentang gelora yang bakal beliau tempuh. Pendidikan, saya katakan kepada beliau, ibarat mendiami sebuah “Rumah Kaca”. Ia sentiasa telus, sentiasa diperhati, dan yang paling menakutkan, ia sentiasa rapuh.
“Saya berkongsi tentang cabaran ‘Ekspektasi Pihak Berkepentingan’. Apa sahaja derita negara, ekonomi yang suram, retak perpaduan, atau isu kesihatan, semuanya diletakkan di bahu pendidikan untuk diselesaikan.
“Akibatnya, fokus pemimpin sering terganggu. Mereka terpaksa sibuk memadamkan “api” isu semasa secara reaktif, sehingga terlupa untuk menyemai benih masa depan secara proaktif,” katanya menerusi Facebook baru-baru ini.
Tambahnya, pendidikan sering menjadi medan ranjau sentimen. Isu bahasa, agama, dan budaya mudah sekali memercikkan emosi, menuntut seorang pemimpin memiliki diplomasi tingkat tinggi agar bahtera tidak karam dilanda ombak persepsi.
“Pemerhatian terhadap kepimpinan beliau setakat ini menunjukkan Fadhlina tidak hanyut dalam arus populariti segera, sebaliknya kekal beristiqamah dengan fokus pelaksanaan, disertai kesabaran strategik dan ketahanan emosi yang diperlukan dalam reformasi jangka panjang.
“Dengan fasa pengukuhan dan pemugaran yang sedang dilalui, beliau dilihat berada pada landasan lebih bersedia untuk melakar hala tuju pendidikan negara yang seterusnya, termasuk pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 dan pembangunan Pelan Pembangunan Pendidikan baharu,” katanya lagi.
Baca juga:








