MCMC: Op Pedo 1.0 dan 2.0 bukti jelas kanak-kanak perlu terus dilindungi

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) giat menjalin kerjasama  dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan keselamatan kanak-kanak dalam talian.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, MCMC menegaskan pelaksanaan tersebut berjaya  dengan beberapa operasi.

“Di sebalik kemudahan Internet, wujud sisi gelap yang cuba merampas keselamatan dan maruah kanak-kanak.

“Melalui penguatkuasaan bersama Polis, tindakan tegas diambil tanpa kompromi.

Op Pedo 1.0 dan Op Pedo 2.0 membongkar jenayah tersembunyi, puluhan individu ditahan, ratusan ribu Bahan Penganiayaan Seksual Kanak-kanak (CSAM) dirampas, merentas pelbagai lokasi dan latar pelaku,” katanya.

MCMC menjelaskan ia bukan sekadar angka, namun adalah mesej jelas bahawa jenayah terhadap kanak-kanak tidak akan dibiarkan, dan pelaku akan dibawa ke muka pengadilan.

Terdahulu, MCMC menegaskan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang memperuntukkan kerangka perundangan bagi meningkatkan keselamatan dalam talian serta memperkukuh perlindungan pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga, telah berkuat kuasa sejak 1 Januari 2026.

Maklumat lanjut mengenai ONSA boleh didapati di laman sesawang MCMC di https://mcmc.gov.my/en/onsa/home

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat