Sindiket dadah bernilai lebih RM400,0000 tumbang

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Polis menumpaskan kancah pengedaran dadah setelah merampas pelbagai jenis bahan terlarang bernilai lebih RM400,000 dan menahan tiga individu, termasuk seorang wanita warga Vietnam, dalam satu operasi di Pontian, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain, berkata rampasan melibatkan 417 peket serbuk ekstasi berperisa jus seberat 5,968 gram bernilai RM125,100 serta serbuk MDMA seberat 1,819 gram dengan nilai anggaran RM303,773.

Menurutnya, polis turut merampas pil ekstasi seberat 30.95 gram bernilai RM3,500, ketamin seberat 24.86 gram bernilai RM4,972, ganja seberat 2,569.4 gram bernilai RM7,964 serta erimin 5 seberat 525.28 gram bernilai RM1,800.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM447,109,” katanya dalam satu kenyataan media di laman rasmi Facebook Polis Pontian pada Jumaat.

Beliau berkata, polis turut menyita dua buah kereta, beberapa barangan kemas dan wang tunai yang dipercayai hasil aktiviti pengedaran dadah dengan nilai keseluruhan RM112,736.85.

“Hasil saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis ketamin,” ujarnya.

Tambah beliau, ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari sehingga 7 Januari bagi membantu siasatan lanjut.

Kes kemudia disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat