KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Sabtu mengeluarkan amaran cuaca signifikan apabila analisis model ramalan menunjukkan luruan monsun dijangka berterusan sehingga 8 Januari 2026.
Fenomena itu berpotensi membawa hujan lebat berterusan di beberapa negeri Pantai Timur dan utara Semenanjung, selain angin kencang serta laut bergelora di Laut China Selatan.
Menurut kenyataan rasmi, hujan lebat dijangka melanda Kelantan dan Terengganu mulai 5 hingga 8 Januari, manakala Pahang akan terjejas dari 6 hingga 8 Januari.
Dalam masa sama, Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora turut dikemas kini sehingga 6 Januari, melibatkan perairan Laut China Selatan termasuk barat Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur.
“Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” kata Ketua Pengarah MetMalaysia dalam kenyataan.
Amaran itu sekali gus menuntut kesiapsiagaan masyarakat khususnya di kawasan berisiko banjir dan komuniti nelayan yang bergantung kepada aktiviti laut.








