KLANG: Dua lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah berjaya ditahan oleh pihak polis ketika cuba melarikan diri melalui pintu belakang sebuah kediaman di Taman Eng Ann, Klang awal pagi 2 Januari lalu.
Menurut kenyataan media dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, insiden itu dilaporkan sekitar pukul 3.15 pagi oleh seorang wanita tempatan yang terdengar bunyi mencurigakan dan mendapati pintu pagar rumah jirannya telah dipecah masuk.
Susulan maklumat tersebut, sepasukan anggota polis telah digerakkan ke lokasi dan berjaya menahan kedua-dua suspek di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Vijaya Rao Samachulu memaklumkan bahawa kedua-dua suspek kini ditahan reman selama lima hari sehingga 6 Januari 2026 bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama lima (5) hari sehingga 6 Januari 2026 bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda atau sehingga 14 tahun bagi kesalahan mencuri serta sebat bagi sabitan kali kedua,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu memandangkan siasatan masih dijalankan.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan kes masih dalam siasatan dan tindakan tegas telah pun dilaksanakan,” katanya.
Kes itu mendapat perhatian selepas video penahanan suspek tular di media sosial, mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Pihak polis menegaskan bahawa kerjasama masyarakat amat penting dalam membanteras jenayah dan memastikan keselamatan komuniti setempat.








