Anwar Kagum Kreativiti Anak Bangsa, Michelle Yeoh Jadi Inspirasi Di Pelancaran ‘I LITE U’

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa terharu dengan sambutan luar biasa rakyat Malaysia serta pelancong asing terhadap pelancaran Projek Inovasi Pencahayaan ke arah Kelestarian Bandar (I LITE U) bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 pada Sabtu.

Dalam satu hantaran di media sosial beliau pada Ahad, Anwar berkata, pelancaran projek tersebut menjadi bukti usaha berterusan Kerajaan MADANI memperindah Kuala Lumpur agar terus memperkukuh daya tarikannya di mata dunia.

“Alhamdulillah, industri pelancongan negara terus menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan.

“Keamanan, keharmonian serta kepelbagaian budaya yang kita pelihara bersama kekal menjadi kekuatan dan tarikan utama pelancong asing ke Malaysia,” katanya.

Majlis pelancaran turut dimeriahkan dengan kehadiran ikon dunia kebanggaan negara, Tan Sri Michelle Yeoh, bintang Asia pertama yang menerima Anugerah Oscar.

Anwar berkata, beliau kagum dengan perkongsian Michelle Yeoh, anak kelahiran Ipoh, mengenai disiplin, ketekunan dan keberanian mengejar cita-cita, di mana nilai yang wajar dijadikan inspirasi khususnya buat anak muda untuk bekerja keras secara konsisten serta berpegang pada semangat mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa.

“Sambutan malam tadi membuktikan bahawa kekuatan kreativiti, bakat dan disiplin anak bangsa mampu mengangkat Malaysia sebagai negara yang hebat, diyakini dan disegani di mata dunia,” katanya.

Terdahulu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, Projek I Lite U merupakan inisiatif pencahayaan hiasan bandar bagi memperkukuh identiti malam Kuala Lumpur sebagai Bandaraya Pelancongan Bertaraf Antarabangsa.

Menurutnya, konsep pencahayaan moden, harmoni dan beridentiti tempatan akan menjadi teras projek tersebut.

“KPKT memulakan inisiatif itu dengan memberikan peruntukan khas RM2 juta kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk merancakkan pencahayaan di kawasan ibu kota khususnya Golden Triangle of Bukit Bintang,” katanya pada sidang media Majlis Prapelancaran Projek I Lite U.

Anda Mungkin Berminat