PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (AMANAH) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan membentangkan dua Rang Undang-Undang (RUU) penting, iaitu pengasingan fungsi Peguam Negara (AGC) dan Pendakwa Raya serta menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal.
Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyifatkan langkah itu sebagai satu pencapaian besar dalam usaha memperkukuh reformasi institusi negara yang telah lama dituntut rakyat.
“Ia mencerminkan iltizam politik Kerajaan Perpaduan untuk memperkukuh tadbir urus berlandaskan prinsip keadilan, ketelusan dan kebertanggungjawaban,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.
Mujahid berkata, pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya merupakan asas kepada kebebasan sistem keadilan negara.
“Dalam kerangka Politik Rahmah, langkah ini penting bagi mengelakkan konflik kepentingan, menjamin kebebasan pendakwaan serta memulihkan keyakinan rakyat terhadap pengendalian kes-kes berprofil tinggi secara adil dan telus,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa cadangan menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri menunjukkan kuasa adalah amanah yang bersifat sementara, bukan hak mutlak.
“Langkah ini memperkukuh tadbir urus yang sihat, membuka ruang pembaharuan kepimpinan dan memastikan kesinambungan pentadbiran negara yang progresif,” katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa reformasi institusi ini wajar disambut dan didukung oleh semua pihak tanpa mengira perbezaan politik kerana ia menyentuh kepentingan nasional.
Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan MADANI sedang melangkah ke hadapan untuk membina Malaysia yang lebih adil, berintegriti dan berperikemanusiaan, selari dengan aspirasi rakyat dan tuntutan zaman.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, undang-undang untuk memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan menjadi yang pertama dibentangkan dalam sesi Parlimen bulan ini, manakala cadangan menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal akan menyusul dalam masa terdekat.








