Malaysia Konsisten Salur Peruntukan Tertinggi Pendidikan – Pakar

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Malaysia kekal sebagai antara negara paling konsisten menyalurkan peruntukan tertinggi bagi sektor pendidikan, sekali gus menunjukkan komitmen kewangan yang jelas dalam usaha memajukan sistem pendidikan sejak dahulu.

Pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, iltizam kerajaan terhadap pendidikan sememangnya tinggi, namun pencapaian negara masih belum membuahkan hasil yang meyakinkan.

“Buktinya, keputusan PISA sejak 2007 telah menunjukkan pencapaian Malaysia masih di bawah purata PISA antarabangsa.

“Tidak pernah pencapaian negara kita melepasi pencapaian purata antarabangsa.

“Malah sebenarnya tidak banyak meningkat sejak 15 tahun yang lalu.

‘Banyak berbelanja, malangnya produktiviti tidak banyak berubah,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Menurut beliau, Malaysia berdepan jurang besar dengan Singapura walaupun republik itu memperuntukkan peratusan lebih rendah daripada KDNK untuk pendidikan.

“Maksudnya iltizam kewangan untuk pendidikan Malaysia jelas lebih tinggi berbanding Singapura, mereka telah berjaya mencapai tahap kualiti pendidikan yang sangat cemerlang.

“Singapura berada di tahap tertinggi sejak PISA 2009. Sangat jauh di hadapan Malaysia,” katanya.

Dr Anuar berkata, kelemahan utama sistem pendidikan negara bukan pada dasar tetapi pada tahap penyampaian dan pelaksanaan.

“Iltizam sahaja yang tinggi, dasar pendidikan sahaja yang hebat (dokumen PPPM contoh terbaik) tetapi di peringkat penyampaian dan pelaksanaan pendidikan nampaknya masih tidak berkesan.

“Sebab itu sistem pendidikan kita tetap ketinggalan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau merumuskan bahawa sepanjang tahun 2025, sistem pendidikan Malaysia masih belum mencapai tahap memuaskan.

“Banyak isu pendidikan negara yang bila ‘terhantuk’, kita sekadar mampu ‘tergadah’ dan ‘melatah’.

“Sebahagiannya, kita masih belum ada penyelesaian yang menyakinkan,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Anuar mencadangkan agar Kerajaan MADANI memberi perhatian lebih serius terhadap usaha meningkatkan kualiti pendidikan pada tahun 2026.

“Inilah perkara yang sepatutnya menjadi perhatian pihak kepimpinan pendidikan negara masa ini,” katanya lagi.

Anda Mungkin Berminat