Gangguan Rel Menurun 87 Peratus Dalam Tiga Tahun – Anthony Loke

KUALA LUMPUR: Usaha berterusan Prasarana bersama pasukan kejuruteraan Rapid Rail membuahkan hasil apabila jumlah gangguan perkhidmatan rel negara berjaya dikurangkan sebanyak 87 peratus dalam tempoh tiga tahun, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Menurut beliau, rekod gangguan menunjukkan penurunan konsisten daripada 252 kes pada 2022 kepada 118 kes pada 2023, seterusnya 71 kes pada 2024 dan hanya 31 kes direkodkan sepanjang 2025.

“Sejak saya menjadi Menteri Pengangkutan, saya akan turun ke Prasarana setiap Januari untuk menilai kad laporan prestasi pengangkutan awam negara.

“Sasaran terbaik sememangnya sifar gangguan, namun penurunan ketara ini membuktikan wujudnya perubahan budaya penyelenggaraan yang positif,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Anthony turut merakamkan penghargaan kepada akar umbi dan pimpinan Prasarana khususnya barisan jurutera Rapid Rail yang menjadi tunjang kejayaan pengurangan gangguan tersebut.

Beliau berkata, persepsi rakyat terhadap pengangkutan awam tidak hanya bergantung kepada statistik tetapi dibentuk melalui pengalaman sebenar pengguna.

“Walaupun trend gangguan menunjukkan penurunan, beberapa pengalaman buruk boleh menyebabkan pengguna hilang keyakinan dan enggan kembali menggunakan pengangkutan awam.

“Situasi ini digambarkan sebagai ‘behaviourally fragile’ dalam laporan Khazanah Research Institute,” katanya.

Sehubungan itu, Anthony menegaskan agar Prasarana sentiasa bersedia mengaktifkan pelan kontingensi dengan pantas serta menyalurkan maklumat secara berkesan kepada pengguna setiap kali berlaku gangguan.

Beliau turut memaklumkan bahawa sebahagian gangguan kebelakangan ini berpunca daripada kes kecurian kabel dan langkah-langkah sedang diambil bagi menangani isu berkenaan.

“Kita akan terus berusaha untuk mengurangkan jumlah gangguan pada tahun ini demi memastikan keyakinan rakyat terhadap sistem pengangkutan awam terus diperkukuhkan,” katanya.

Anda Mungkin Berminat