Imigresen Johor Selamat Tiga Wanita Indonesia Mangsa Pemerdagangan Manusia

JOHOR BAHRU: Tiga wanita warga Indonesia dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia berjaya diselamatkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dalam satu operasi khas di sebuah premis perniagaan di Mount Austin, Selasa lalu.

Operasi yang melibatkan 24 pegawai Bahagian Penguatkuasa itu mendapati ketiga-tiga mangsa sedang bekerja ketika serbuan dijalankan.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipaksa bekerja di kilang milik majikan pada waktu pagi sebelum diarahkan bekerja di kediaman majikan selepas tamat waktu kerja di kilang,” kata kenyataan JIM Johor.

Menurut kenyataan itu lagi, majikan bertindak menahan pasport mangsa, mengehadkan pergerakan mereka serta menyekat komunikasi bagi menghalang mereka daripada berhubung dengan keluarga.

Mangsa berusia antara 24 hingga 33 tahun dan dilaporkan bekerja sebagai pembantu rumah sejak satu hingga dua tahun lalu.

Mereka dijanjikan gaji RM1,800 sebulan namun tidak menerima bayaran penuh sepanjang tempoh bekerja.

Dalam operasi sama, tiga majikan tempatan iaitu seorang lelaki dan dua wanita berusia antara 31 hingga 62 tahun ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi berkata, operasi dijalankan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0 bagi mengenal pasti mangsa dalam kalangan golongan rentan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana majikan yang mengeksploitasi pekerja asing melalui paksaan, ugutan atau penindasan,” katanya.

Anda Mungkin Berminat