ULASAN | Media sosial Malaysia tiba-tiba jadi “panas”. Puncanya cuma satu keping gambar. Gambar Perdana Menteri kita (PMX) sedang berdiri memberikan penghormatan di Anitkabir.
Bagi yang tak tahu, Anitkabir tu adalah makam Mustafa Kemal Atatürk yang terletak di Ankara.Bila gambar tu tersebar je, ruang komen terus bertukar jadi medan perang.
Ada yang marah berapi-api. Ada yang komen sebegini, “Manusia yang Allah bagi laknat ke atas dia.. Bumi pon tak terima.. Kita ‘plak’ pi angkat jadi tokoh.. Bodo piang.”
Malah, ada yang lebih ekstrem. Tapi malas lah nak tulis balik kat sini.
Komen-komen macam ni bukan benda baru. Ia adalah skrip lama yang diulang tayang setiap kali pemimpin kita jejak kaki ke sana.
Tapi sebelum kita melenting tak tentu pasal. Dan sebelum kita jatuhkan hukum neraka kat orang lain. Kita kena bertenang sekejap. Kita kena faham kenapa situasi ini berlaku.
Kita kena faham kenapa wujud jurang perbezaan yang sangat besar antara cara orang Turki pandang Atatürk, dengan cara orang Melayu kita pandang dia.
Realitinya, di Turki, Atatürk disanjung tak ubah macam wira legenda. Kalau kita pergi ke Istanbul hari ini, atau masuk ke ceruk kampung di Anatolia, potret muka Atatürk ada di mana-mana.

Di pejabat kerajaan, potret dia wajib ada. Di kedai runcit, di sekolah, malah ditampal di cermin belakang lori pun ada. Persoalannya, adakah orang Turki ni semua dah sesat?
Adakah mereka dah lupa agama sampai sanggup sanjung orang yang hapuskan sistem Khalifah? Jawapannya: Tidak.
Orang Turki, walaupun mereka solat lima waktu, penuh masjid waktu Jumaat, mereka tetap hormat Atatürk sebagai “Bapa Penyelamat Bangsa”. Sebab apa?
Sebab Realpolitik.
Untuk faham benda ni, kita kena putar balik jarum jam ke tahun 1920-an. Masa tu, selepas tamat Perang Dunia Pertama, Empayar Uthmaniyah dah kalah teruk. Nyawa empayar tu dah berada di hujung tanduk. Kuasa-kuasa Barat seperti British, Perancis, Itali dan Greece dah siap pegang pisau dan garpu. Mereka dah bersedia nak “memamah” dan membahagi-bahagikan saki-baki tanah Turki melalui satu perjanjian yang dipanggil Perjanjian Sevres 1920.
Kalau ikut pelan asal British masa tu, negara bernama “Turki” yang kita kenal hari ini sepatutnya tak wujud langsung dalam peta dunia. Istanbul nak dijadikan zon antarabangsa. Wilayah lain nak dibahagi-bahagikan kat Greece dan Itali macam harta pusaka.
Masa itulah munculnya Mustafa Kemal. Dia seorang jeneral perang yang genius dari segi strategi. Dia kumpul askar-askar kampung yang dah penat perang. Dia tiup semangat nasionalisme. Dan dia pimpin Perang Kemerdekaan Turki (Turkish War of Independence) untuk lawan penjajah.
Hasilnya? Dia belasah tentera Greece. Dia halau British. Dan dia paksa Barat tandatangan perjanjian baru, iaitu Perjanjian Lausanne 1923.
Perjanjian inilah yang mengiktiraf kedaulatan sempadan Turki moden yang kita nampak sekarang.
Bagi rakyat Turki, logiknya mudah. Tanpa Atatürk, mungkin hari ini azan dah tak berkumandang di Istanbul. Mungkin Hagia Sophia dah jadi gereja ortodoks Greece selamanya.
Jadi, mereka sanjung dia sebab dia selamatkan tanah air mereka dari lenyap ditelan penjajah. Itu realiti di sana.
Tapi, realiti di sini lain pula ceritanya. Di Nusantara, terutamanya di Malaysia, kita membesar dengan sisi gelap dan mitos yang berakar umbi.
Ya, kita tak nafikan fakta sejarah bahawa dia bawa Sekularisme. Dia hapuskan sistem Khalifah dan dia banyak ubah syiar Islam di sana.

Sebagai orang beriman, kita berhak untuk tidak setuju dengan ideologi dia. Itu pendirian kita yang teguh.
Tapi masalah utama kita ialah cara kita membenci tu. Kadang-kadang, kebencian kita melampaui batas kebenaran.
Kita tak lawan fakta dengan fakta. Tapi kita lawan dengan cerita dongeng dan fitnah.
Sejak berpuluh tahun lamanya, sebahagian penceramah kita telah menjaja satu naratif ngeri tentang kematian Atatürk.
Kononnya jenazah dia berbau busuk sampai satu Ankara bau bangkai. Kononnya bumi tak terima mayat dia sampai terkeluar balik.
Ada pula versi yang lagi dahsyat, kata muka dia bertukar jadi babi. Cerita-cerita sensasi ini disebarkan di masjid dan surau tanpa sebarang rasa bersalah. Semata-mata nak bagi sedap cerita ceramah.
Persoalannya, adakah cerita-cerita ini betul?
Kalau kita buka kitab sejarah yang sahih, termasuk rekod daripada musuh politik Atatürk sendiri, faktanya lain. Atatürk meninggal dunia di Istana Dolmabahce pada 10 November 1938. Puncanya sakit Cirrhosis atau kerosakan hati. Jenazahnya dimandikan secara Islam. Disolatkan oleh Syeikhul Islam masa tu, iaitu Mufti Şerafettin Yaltkaya. Dan ribuan rakyat Turki menangis mengiringi jenazahnya ke persemadian.
Jenazahnya kemudian diawet dan disimpan di Muzium Etnografi Ankara selama 15 tahun sebelum dipindahkan ke makam besar Anitkabir pada tahun 1953.
Tak ada insiden mayat terkeluar. Tak ada insiden bau busuk satu bandar. Dan tak ada insiden bertukar jadi binatang.
Itu semua adalah rekaan semata-mata yang malangnya telah menjadi “fakta” dalam kepala ramai orang kita. Di sinilah letaknya tragedi pemikiran kita.
Kita terlalu ghairah nak tunjuk keburukan seseorang yang kita tak suka sampai kita sanggup cipta fitnah.
Yelah, orang dah meninggal dunia, mana boleh pertahankan diri, kan? Walhal kita lupa bahawa dalam Islam, matlamat tidak sesekali menghalalkan cara.
Ya, niat nak bagi peringatan supaya orang jangan jadi sekular tu baik. Tapi bila kita selitkan cerita palsu, kita sebenarnya sedang melakukan dosa besar atas nama dakwah.
Nabi SAW sendiri ajar kita berlaku adil walaupun dengan sesiapa sekalipun. Bila kita sebarkan fitnah macam kapas ditiup angin. Dan bila orang lain sebarkan tanpa usul periksa. Kita sebenarnya sedang membina rantaian dosa jariyah yang tak putus-putus.
Lebih malang lagi zaman sekarang. Orang muda boleh buat semakan fakta di Google dalam masa dua saat. Bila mereka jumpa kebenaran dan tahu cerita ustaz tu palsu, kredibiliti agamawan kita akan tercalar teruk. Mereka akan mula ragu-ragu dengan semua benda, termasuk hukum hakam yang betul.
Jadi, berbalik kepada isu PMX tadi. Fahamlah bahawa PMX pergi sana bukan untuk sokong sekularisme. Dia pergi atas dasar diplomasi negara.
Turki adalah kuasa besar tentera NATO dan pemain utama geopolitik Islam sekarang. Kita boleh belajar dari Atatürk tentang semangat pertahanan negara. Tentang ketegasan dia memodenkan bangsa dan melawan British. Manakala bab sekular dan dosa peribadinya, kita tinggalkan kepada Allah SWT.
Itu urusan dia di Padang Mahsyar nanti. Dan kita yang bawa naratif fitnah pun sama je, akan dipersoal juga dekat padang mahsyar, jangan ingat atau rasa kita akan terlepas tau.
Allah Maha Adil. Neraka Allah itu cukup panas tanpa perlu kita tambah “bumbu” fitnah dari dunia.
MasyaAllah, moga Allah pelihara lidah dan jari jemari kita.
Janganlah kita tergolong dalam kalangan mereka yang menyebarkan berita yang kita sendiri tidak pasti kesahihannya.
Biarlah kita membenci kekufuran dengan ilmu dan fakta. Bukannya dengan emosi dan dusta.
Moga kita bertemu Allah nanti dengan hati yang bersih, bukan dengan buku amalan yang penuh dengan saham fitnah yang kita tak sempat padam di dunia.
***Penulis adalah penulis buku sejarah yang disulam kupasan teknologi, sains dan arkeologi. Turut menulis artikel yang mengupas keajaiban dunia, teknologi masa depan serta fakta menarik








