KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines mengesahkan penerbangan MH21 dari Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Paris (CDG) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KUL) semalam terpaksa berpatah balik dan mendarat semula di CDG berikutan masalah teknikal.
Menurut kenyataan syarikat penerbangan itu, keputusan berpatah balik dibuat sebagai langkah berjaga-jaga selepas kru penerbangan mengesan ketidaknormalan pada petunjuk enjin sejurus selepas pesawat berlepas.
Malaysia Airlines memaklumkan penerbangan gantian, MH21D, dijadualkan berlepas dari CDG pada jam 1 petang waktu tempatan hari ini.
“Selaras dengan prosedur keselamatan penerbangan standard, kru penerbangan telah memohon keutamaan pengendalian dan mematuhi arahan Kawalan Trafik Udara, termasuk penggunaan kod transponder kecemasan bagi memastikan pendaratan semula yang selamat di CDG untuk pemeriksaan teknikal.
“Pesawat berkenaan selamat mendarat di Paris pada jam 3.35 petang waktu tempatan,” menurut kenyataan itu hari ini.
Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan juruterbang pesawat Airbus A350 milik Malaysia Airlines mengisytiharkan kecemasan tidak lama selepas berlepas dari CDG.
Difahamkan, penerbangan MH21 berlepas pada jam 11.55 pagi waktu tempatan (CET), kira-kira 45 minit lewat daripada jadual asal susulan keadaan salji di lapangan terbang berkenaan.
Dalam pada itu, Malaysia Airlines memaklumkan penumpang yang terjejas telah ditempatkan semula ke penerbangan alternatif tertakluk kepada ketersediaan, manakala sebahagian yang lain disediakan penginapan di hotel berhampiran lapangan terbang.
“Malaysia Airlines amat kesal atas segala kesulitan dan gangguan terhadap perancangan perjalanan penumpang. Keselamatan penumpang dan kru kekal sebagai keutamaan utama,” katanya.








