KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan Datuk Noor Azman Rahman kembali menjalankan tugasnya sebagai Setiausaha Agung berkuat kuasa serta-merta.
Dalam satu kenyataan media, FAM memaklumkan keputusan itu dibuat selepas siasatan mendapati Noor Azman tidak bersalah dalam isu pemalsuan dokumen yang melibatkan tujuh pemain negara yang digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Menurut FAM, hasil siasatan mendapati Noor Azman hanya dikaitkan dengan kecuaian pentadbiran dan tidak terlibat atau bersalah dalam sebarang bentuk pemalsuan dokumen seperti yang didakwa sebelum ini.
“Pelantikan semula ini sekali gus menamatkan spekulasi mengenai kedudukan Datuk Noor Azman dalam struktur pengurusan tertinggi FAM dan dijangka dapat memastikan kelangsungan serta kestabilan pentadbiran badan induk bola sepak negara menjelang beberapa agenda penting,” menurut kenyataan itu.
FAM turut mengesahkan bahawa penggantungan Noor Azman telah ditamatkan selepas Jawatankuasa Tatatertib FAM membuat keputusan berkenaan dalam mesyuarat yang diadakan hari ini.
Keputusan menarik balik penggantungan tersebut membuka laluan kepada Noor Azman untuk kembali menggalas peranan penting dalam pengurusan bola sepak negara.
Sebelum ini, Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 22 Disember 2025 membincangkan laporan Jawatankuasa Siasatan Bebas (Independent Investigation Committee – IIC) dan memutuskan untuk meneruskan penggantungan Noor Azman yang berkuat kuasa sejak 17 Oktober 2025, sementara kes itu dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM.
Bagaimanapun, Jawatankuasa Tatatertib FAM yang dipengerusikan oleh Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, selepas meneliti laporan IIC bertarikh 15 Disember 2025 serta mengambil kira tempoh penggantungan yang telah dilalui, memutuskan Noor Azman boleh dikembalikan ke jawatannya sebagai Setiausaha Agung FAM tanpa sebarang penangguhan.
Baca juga:








