TDM tegas tiada kompromi isu “budaya YEYE”, siasatan dalaman dilancarkan

KUALA LUMPUR: Tentera Darat Malaysia (TDM) menegaskan pendirian tegas tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang terbabit dalam budaya tidak sihat, susulan penularan isu “budaya YEYE” yang mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa kepimpinan baharu TDM memandang serius perkara itu dan memberi jaminan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.

Menurut kenyataan tersebut, siasatan dalaman akan dilaksanakan serta-merta susulan aduan yang diterima berkaitan isu berkenaan.

“TDM tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku warganya, sama ada pegawai mahupun anggota, yang terlibat secara langsung atau tidak langsung. Tindakan tegas akan diambil mengikut peraturan perkhidmatan dan undang-undang sedia ada sekiranya terbukti bersalah,” katanya, seperti dipetik Harian Metro.

Bagi membendung isu integriti dan aktiviti tidak bermoral, TDM turut menggariskan beberapa langkah penguatkuasaan dan pencegahan jangka panjang.

Antaranya termasuk pemantauan berterusan oleh semua pemerintah di setiap pasukan, formasi dan pusat latihan, selain arahan supaya peringatan berkala diberikan kepada warga tentera.

“TDM juga akan memperkasakan pendidikan moral, kesedaran integriti dan etika di semua peringkat. Ini termasuk mempergiat aktiviti keagamaan dan kerohanian bagi membentuk jati diri serta nilai profesionalisme yang tinggi,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan turut menegaskan komitmen kepimpinan TDM untuk memastikan institusi pertahanan negara terus diyakini dan dihormati rakyat.

“TDM bertekad mengekalkan tahap integriti dan profesionalisme yang tinggi demi keselamatan serta kedaulatan negara,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat