JAKIM, PDRM tidak kompromi program bercanggah agama Islam

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana penganjuran program yang bercanggah dengan ajaran agama Islam.

Menerusi kenyataan media pada Sabtu, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata, penganjuran program yang bercanggah dengan peruntukan undang-undang serta ketenteraman awam akan dikenakan tindakan tegas selaras dengan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil perhatian dan memandang serius berkaitan penganjuran program bertajuk “Glamping With Pride” oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada isu kesihatan dan hak bagi lelaki gay, biseksual serta lelaki lain yang melakukan hubungan seks dengan lelaki di Malaysia, termasuk penyediaan sokongan rakan sebaya dan advokasi berkaitan isu kesihatan, khususnya HIV,” katanya.

Tegasnya juga, sebarang usaha yang menormalisasikan perlakuan seks songsang jelas bercanggah dengan prinsip dan ajaran agama Islam.

Di samping itu katanya, aktiviti songsang itu amat bertentangan dengan nilai akhlak, tamadun serta kerangka perundangan negara.

“Perbuatan sedemikian merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang sedia ada, termasuk peruntukan Akta Kesalahan Jenayah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Seksyen 25] serta Kanun Keseksaan [Seksyen 377A, 377B, 377C dan 377D] yang memperuntukkan kesalahan berkaitan seks luar tabii.

JAKIM turut mendedahkan pihaknya bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan PDRM sedang memantau dengan rapi terhadap penganjuran program berunsurkan LGBT itu.

Dalam masa yang sama, JAKIM akan terus melaksanakan peranan penerangan, pendidikan dan pencegahan kepada masyarakat, khususnya umat Islam di negara ini.

Katanya, supaya orang Islam di negara ini tidak terpengaruh mahupun menormalisasikan perlakuan songsang sebagai satu gaya hidup kerana ia jelas bertentangan dengan agama, undang-undang dan budaya setempat.

“Sebarang perlakuan dan amalan yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam tidak akan dikompromi.

“Semua pihak adalah dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan menyerahkan sebarang isu berkaitan kepada pihak berkuasa agama Islam untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat