Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Titah oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail disifatkan jelas, tegas dan tepat pada masanya buat Perlis yang kini berdepan krisis politik dek kerana PAS-PN.
Perkara itu disuarakan oleh Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar menegaskan bahawa setiap wakil rakyat wajib mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri melebihi kepentingan parti atau peribadi.
“Titah Tuanku ini amat jelas, tegas dan tepat pada masanya, khususnya ketika Perlis sedang berdepan krisis politik yang berpunca daripada pertembungan kepentingan dalaman PAS dan PN, sehingga pentadbiran negeri terjejas dan rakyat menjadi mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mahfuz berkata, titah Raja Perlis turut mengingatkan bahawa wakil rakyat merupakan wakil kepada semua rakyat tanpa mengira parti.
“Maka tindakan yang terus mempertahankan kepentingan parti semata-mata jelas bercanggah dengan semangat titah tersebut, malah mencerminkan kegagalan PAS untuk keluar daripada budaya politik lama yang memangsakan rakyat,” ujarnya.
Tegas beliau, Perlis tidak memerlukan sentimen permainan drama politik, sebaliknya memerlukan kerajaan yang stabil, berfungsi serta mampu bekerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan demi kepentingan negeri kecil ini.
“Politik sandera, ugutan dan boikot pentadbiran hanyalah bukti politik lama yang semakin ditolak rakyat,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua wakil rakyat di Perlis untuk kembali kepada asas sumpah jawatan, menghormati titah Raja, menghentikan politik kepartian yang sempit dan meletakkan rakyat serta negeri sebagai keutamaan mutlak.
Ujar beliau lagi, titah yang disampaikan oleh Raja Perlis itu bukan sekadar nasihat, tetapi amanah.
“Rakyat Perlis tidak wajar terus menjadi korban kepada politik kuno yang gagal belajar daripada kesalahan sendiri,” ujarnya.
Terdahulu, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menitahkan kepada semua pihak untuk bersatu dan menghentikan segala spekulasi, tohmahan serta perkara yang tidak diingini susulan pelantikan Menteri Besar Perlis yang baharu.
Baginda turut bertitah agar semua pihak perlu memberi tumpuan kepada usaha memajukan negeri.
“Situasi pertukaran Menteri Besar lazimnya berlaku hampir setiap lima tahun, namun apa yang berlaku di Perlis adalah kali pertama apabila Menteri Besar meletakkan jawatan atas faktor kesihatan sehingga memerlukan pelantikan Menteri Besar baharu.
“Malangnya, selepas itu timbul pelbagai spekulasi, tohmahan dan tuduhan dan beta harap selepas ini semua perkara ini dihentikan demi kebaikan negeri ini,” titahnya.








