PETALING JAYA: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman sekali lagi membuktikan ketegasan dalam membanteras jenayah dadah apabila berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran bunga ganja bernilai RM1.92 juta melalui Operasi AGAS di Kelantan.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejayaan itu adalah hasil risikan strategik dan berterusan selama hampir empat bulan.
“Dalam serbuan pertama di Jalan Kota Bharu–Gua Musang, pasukan JSJN berjaya menahan seorang suspek selepas berlaku perlanggaran kenderaan dan seterusnya merampas 320 bungkusan plastik lutsinar mengandungi bunga ganja dengan anggaran berat 52 kilogram,” katanya.
Beliau berkata, serbuan susulan di Taman Sri Guchil, Kuala Krai, membawa kepada penahanan dua lagi suspek berusia antara 32 hingga 50 tahun yang dipercayai terlibat secara langsung dalam sindiket berkenaan.
Menurut Hussein, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM1.82 juta, manakala nilai keseluruhan rampasan dan sitaan mencecah RM1.92 juta.
“Dadah tersebut berpotensi merosakkan seramai 104,000 orang termasuk generasi muda, sekiranya terlepas ke pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Siasatan mendapati sindiket itu aktif sejak September 2024, menggunakan modus operandi membawa bekalan dadah dari kawasan sempadan sebelum dijadikan transit dan diedarkan ke pasaran tempatan serta antarabangsa.
Lebih mengejutkan, dalang utama sindiket dipercayai seorang wanita dari negara jiran dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan melalui kerjasama rapat dengan pihak berkuasa luar negara.
Kesemua suspek kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Selain itu, tindakan pelucuthakan harta turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
“Jabatan ini tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau sindiket yang terlibat dalam pengedaran dadah kerana jenayah ini bukan sahaja mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat, malah mencemarkan imej serta maruah negara,” tegas beliau.








