Keberangkatan Sultan Pahang Serikan Perlawanan Akhir Badminton Terbuka Malaysia 2026

KUALA LUMPUR: Suasana di Axiata Arena, Bukit Jalil pada petang Ahad bertambah meriah apabila Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan mencemar duli menyaksikan perlawanan akhir Badminton Terbuka Malaysia 2026.

Kehadiran Baginda bukan sahaja menyerikan acara sukan bertaraf antarabangsa itu, malah menjadi simbol sokongan berterusan institusi diraja terhadap perkembangan sukan negara.

Ribuan penonton yang memenuhi arena turut menzahirkan rasa teruja dengan keberangkatan Baginda.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut hadir mendoakan dan penghargaan atas keberangkatan Baginda.

“Alhamdulillah berkesempatan menghadap Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah yang berkenan mencemar duli berangkat menyaksikan perlawanan akhir Badminton Terbuka Malaysia 2026 di Axiata Arena, Bukit Jalil.

“Mendoakan semoga Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku dan seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.

“Dirgahayu Tuanku,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Terdahulu, keputusan akhir perlawanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 menyaksikan beregu lelaki negara, Aaron Chia–Soh Wooi Yik tewas kepada pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho–Seo Seung Jae dengan keputusan 15-21, 21-12, 18-21.

Pasangan beregu negara itu muncul naib juara selepas pertarungan sengit selama lebih sejam di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Anda Mungkin Berminat