GEORGE TOWN: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, hari ini meninjau penerimaan bas baharu untuk perkhidmatan RapidPenang, dengan sebanyak 10 bas diesel sudah diterima manakala 60 lagi dijangka tiba bulan depan.
Beliau berkata, kumpulan bas berkenaan merupakan bas diesel terakhir sebelum RapidPenang beralih sepenuhnya kepada penggunaan teknologi hijau sebagai sebahagian usaha memperkasa sistem pengangkutan awam negara.
“Bas elektrik pertama RapidPenang dijangka tiba pada Mei ini, melibatkan fasa awal sebanyak 75 unit bas elektrik yang akan diperkenalkan secara berperingkat sehingga Mac 2027.
“Prasarana kini sedang giat menaik taraf depot bas dengan menyediakan infrastruktur pengecasan bagi menyokong pengoperasian bas elektrik ini,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.
Anthony berkata, inisiatif berkenaan selari dengan usaha Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk memodenkan perkhidmatan pengangkutan awam, sekali gus mengurangkan pelepasan karbon dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pengguna.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebelum ini beliau telah turun padang ke beberapa negeri termasuk Seremban, Melaka, Ipoh, Kota Setar, Kangar, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Johor Bahru bagi menyempurnakan pengoperasian bas-bas baharu di ibu negeri terbabit.
“Dalam masa terdekat, saya juga akan ke Kota Bharu, Kuantan dan Kuching bagi tujuan yang sama,” katanya.
Baca juga:








