BERA: Seorang suri rumah mengalami kerugian sebanyak RM128,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan menawarkan pekerjaan sambilan secara dalam talian.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa baru-baru ini.
Menurut beliau, mangsa menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang menawarkan peluang kerja sambilan sebelum diarahkan berhubung melalui aplikasi Telegram dan WhatsApp.
“Mangsa diminta melaksanakan tugasan menerusi satu aplikasi jualan barangan dalam talian.
“Namun selepas tugasan diselesaikan, komisen yang dijanjikan tidak diterima atas alasan tugasan tersebut tidak menepati kehendak suspek,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, suspek kemudiannya meminta mangsa membuat bayaran sebagai denda dan diarahkan untuk melaksanakan tugasan baharu dengan janji pulangan komisen yang lebih lumayan.
“Mangsa dipercayai telah membuat beberapa transaksi ke dalam beberapa akaun bank milik suspek dengan jumlah keseluruhan RM128,000 sebelum menyedari dirinya diperdaya dan tampil membuat laporan polis.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.” Tambah kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran pekerjaan dalam talian yang menjanjikan pulangan luar biasa dan tidak mudah terpengaruh dengan helah penipu.
Baca juga:








