MCMC Pertimbang Saman Platform X

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti tindakan undang-undang terhadap platform media sosial X selepas ia didapati gagal menjamin keselamatan pengguna khususnya melibatkan kandungan berbahaya dan pendedahan kepada kanak-kanak.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibincangkan secara serius berikutan kebimbangan terhadap kandungan di laman berkenaan yang tidak selari dengan keperluan keselamatan serta undang-undang Malaysia.

“Jika platform media sosial gagal mematuhi keperluan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia termasuk aspek keselamatan pengguna, tindakan undang-undang boleh diambil.

“MCMC kini sedang mempertimbangkan untuk menyaman X kerana kegagalan memastikan keselamatan pengguna,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur di Jubli Perak, SUK Selangor.

Menurut Fahmi, antara isu utama yang dibangkitkan ialah kandungan yang dijana teknologi kecerdasan buatan (AI) di platform itu.

Menurutnya, kandungan sebegini berpotensi mencetuskan perdebatan tidak sihat serta menampilkan bahan yang tidak sesuai khususnya kepada golongan bawah umur.

Beliau berkata, kementerian kini giat mengadakan perbincangan berterusan bersama semua platform media sosial bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Keselamatan Dalam Talian dan undang-undang sedia ada.

“Insya-ALLAH menjelang pertengahan tahun ini, kita menyasarkan kerjasama penuh semua platform media sosial untuk menghadkan akses dan penyebaran kandungan media sosial tertentu khususnya kepada pengguna berumur 16 tahun ke atas sahaja,” katanya.

Fahmi turut berkata, kerajaan telah menyelesaikan isu infrastruktur komunikasi dan kini memberi tumpuan kepada usaha menjadikan internet lebih selamat untuk rakyat terutama kanak-kanak dan remaja.

“Anak-anak kita bermain media sosial setiap hari. Jadi tanggungjawab kerajaan adalah memastikan ruang digital ini selamat dan tidak memudaratkan.

“Kenyataan lanjut serta perincian tindakan yang bakal diambil akan dimaklumkan oleh MCMC dalam masa terdekat,” katanya.

Anda Mungkin Berminat