PETALING JAYA: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa pemimpin yang dipilih memegang amanah wajib memiliki integriti yang tidak boleh diragukan, bukannya dirasuk oleh kerakusan jawatan dan mabuk kuasa.
Dalam titah baginda pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) Ke-74 pada Selasa, Sultan Nazrin menzahirkan kebimbangan terhadap segelintir umat Islam yang seakan kehilangan kompas kehidupan, terperangkap dalam gelombang kebendaan serta sanggup mengorbankan nilai keinsanan demi mengejar kedudukan.
Baginda menekankan bahawa budaya sogokan untuk meraih sokongan dan budaya fitnah untuk menjatuhkan pihak lain semakin berleluasa, sehingga kekayaan material dijadikan pegangan akidah baharu.
“Jawatan dan kuasa adalah ujian terhadap tingkat keimanan dan ketakwaan seseorang insan dan jika tidak dikembari dengan iman dan takwa.
“Ia boleh menjejaskan ketauhidan serta mengalih ketaatan daripada perintah Allah SWT kepada arahan manusia.
“Firman Allah SWT dalam ayat 51 dan 52, surah An-Nahl sewajibnya dijadikan kompas panduan ketika mengharungi lautan kehidupan. Insaflah! jawatan dan kuasa merupakan anugerah dan ujian daripada Ilahi,” titah baginda.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan; timbalannya, Marhamah Rosli; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.
Sultan Nazrin turut mengingatkan bahawa kelemahan pengurusan dan ketiadaan integriti dalam kalangan pemimpin institusi Islam boleh menjejaskan imej agama itu sendiri.
Baginda bertitah, institusi Islam yang berintegriti bukan sahaja mampu membantu ummah untuk lebih maju, malah berupaya memperbetulkan persepsi negatif terhadap Islam, meluaskan syiar agama serta membina pandangan positif masyarakat.
Sehubungan itu, baginda menitahkan agar setiap pemimpin yang diberi mandat memimpin dan mengurus institusi Islam sentiasa menjunjung integriti yang tidak boleh diragukan.








