ATM tidak kompromi sebarang bentuk salah laku individu cemar imej organisasi

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menegaskan bahawa institusi itu kekal komited dalam mempertahankan kedaulatan negara berlandaskan misi dan visi yang telah digariskan.

Menerusi kenyataan media pada Selasa, ATM tidak akan berkompromi lagi terhadap sebarang bentuk salah laku individu yang boleh mencemarkan imej dan kredibiliti organisasi.

“Permulaan tahun 2026 menyaksikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berdepan dengan pelbagai cabaran dan isu yang mendapat perhatian masyarakat,” katanya.

ATM berkata, pihaknya kini memandang serius setiap perkara yang dibangkitkan dan mengambil pendekatan terbuka berfakta serta bertanggungjawab dalam memastikan kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan di negara ini terus terpelihara.

Katanya, sebagai sebuah organisasi pertahanan yang berteraskan disiplin, profesionalisme dan integriti, ATM sentiasa bermuhasabah serta komited untuk memperbaiki sistem, tata kelola dan penyampaian perkhidmatan.

“Usaha ini dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kesiapsiagaan, keupayaan dan keberkesanan ATM sentiasa berada pada tahap tertinggi demi memelihara kedaulatan dan keselamatan negara.

“ATM yakin bahawa institusi ini masih diterajui oleh Pegawai dan Anggota yang ikhlas berkhidmat, yang menjunjung amanah serta mengutamakan kepentingan perkhidmatan berbanding kepentingan diri,” ujarnya.

Dalam pada itu, ATM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mana-mana pihak berkuasa serta agensi berkaitan yang menjalankan siasatan, selaras dengan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang.

“Segala siasatan yang sedang dijalankan kini memerlukan masa dan penelitian yang rapi bagi memastikan setiap tindakan yang diambil adalah adil, berlandaskan fakta, dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana tekanan luar.

Demi memastikan keselamatan serta kedaulatan tanah air sentiasa terpelihara, ATM akan terus melangkah ke hadapan sebagai sebuah institusi pertahanan negara yang profesional, berintegriti dan diyakini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat