KUMPULAN sensasi K-pop, BTS akhirnya mengesahkan kemunculan semula mereka dengan pengumuman jelajah dunia besar-besaran bagi tahun 2026 hingga 2027, selepas hampir empat tahun menyepi susulan komitmen perkhidmatan ketenteraan wajib semua ahli.
Jelajah berkenaan dijadualkan bermula pada April 2026 di Korea Selatan dan akan berlangsung sehingga Mac 2027, melibatkan lebih 70 persembahan di seluruh Asia, Amerika Utara, Amerika Selatan, Australia dan Eropah.
Ini merupakan konsert utama pertama BTS sejak jelajah Permission to Dance on Stage 2021–2022, sekali gus menandakan kepulangan rasmi mereka ke pentas global yang dinanti jutaan peminat, ARMY.
Peminat yang mempunyai keahlian rasmi ARMY boleh mendapatkan tiket presale pada 22 dan 23 Januari melalui platform Weverse, manakala jualan umum bagi semua lokasi akan dibuka bermula 24 Januari.
Pengumuman ini hadir beberapa minggu selepas syarikat pengurusan mereka, BigHit Music, mengesahkan BTS akan kembali aktif dalam industri muzik bermula 20 Mac 2026.
Untuk rekod, kesemua tujuh anggota BTS iaitu RM, Jin, Jimin, V, Suga, Jung Kook dan j-hope telah menamatkan perkhidmatan ketenteraan wajib masing-masing. Suga menjadi ahli terakhir yang menamatkan khidmat sebagai ejen perkhidmatan sosial pada Jun 2025.
Lebih menggembirakan peminat tempatan, Kuala Lumpur turut tersenarai sebagai salah satu destinasi jelajah, dengan konsert dijadualkan berlangsung pada 12 dan 13 Disember 2026.
Antara bandar lain yang bakal dikunjungi termasuk Tokyo, London, Paris, Madrid, Los Angeles, Mexico City, Bangkok, Singapore, Jakarta, Melbourne, Sydney dan Manila.
Baca juga:








