PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan doa penuh keikhlasan buat mangsa insiden letupan gas penyaman udara di HELP University, Reeya Kaur Thandal, yang kini masih menerima rawatan.
Dalam ciapan di laman rasmi X pada Rabu, beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Soo Yu Juan atas kehilangan anak tersayang dalam tragedi tersebut.
“Moga diberi ketabahan dan kekuatan, juga semua yang terkesan dengan tragedi itu,” katanya.
Anwar pada masa sama mengarahkan siasatan segera dan menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian, sekali gus memastikan aspek keselamatan semua pihak terjamin.
Insiden yang berlaku pada Isnin lalu menggemparkan apabila seorang lelaki disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), manakala sembilan lagi cedera.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus memaklumkan mangsa yang meninggal dunia merupakan seorang pekerja syarikat kontraktor tempatan berusia 24 tahun.








