SARA Ringan Beban Belia Bujang Hadapi Kos Sara Hidup – KBS

PETALING JAYA: Seramai 3.1 juta belia bujang kini menerima manfaat daripada mekanisme Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di bawah inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Kategori Bujang, yang mula disalurkan hari ini.

Bantuan itu hadir tepat pada masanya bagi meringankan tekanan kewangan golongan muda yang berdepan cabaran ekonomi dan peningkatan kos sara hidup.

Menurut Kementerian Belia dan Sukan (KBS), sokongan kewangan itu menyasarkan golongan B40, miskin, miskin tegar dan sederhana bagi membantu memenuhi keperluan asas harian.

“KBS percaya bantuan ini amat bermakna kepada belia yang terkesan dengan tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi semasa,” menurut kenyataan kementerian itu.

KBS berkata, STR kategori bujang bukan sekadar bantuan tunai tetapi juga berfungsi sebagai jaringan keselamatan sosial untuk belia yang sedang membina kerjaya, bekerja sendiri atau memperoleh pendapatan rendah.

Dalam masa sama, penerima disaran agar mengurus perbelanjaan dengan berhemah, mengutamakan keperluan asas, mengelakkan pembaziran serta memanfaatkan bantuan bagi meningkatkan kesejahteraan hidup.

Selain itu, KBS turut menggalakkan belia mengambil peluang untuk meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran diri, sekali gus menjamin kestabilan ekonomi jangka panjang.

Anda Mungkin Berminat