Pelakon Nadia Kesuma Meninggal Dunia Akibat Sakit Jantung di Jeddah

JEDDAH: Kehilangan pelakon, Nadia Kesuma, sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah akhirnya terjawab apabila beliau disahkan meninggal dunia akibat sakit jantung pada Khamis lalu.

Perkara itu dimaklumkan oleh anak perempuan arwah menerusi satu hantaran di aplikasi Threads sebentar tadi. Menurutnya, ibunya, Nadiah Kasumawati Abdul Karim, menghembuskan nafas terakhir pada 15 Januari lalu kira-kira jam 8.05 pagi waktu tempatan.

“Assalamualaikum semua, saya ingin memaklumkan bahawa mama saya, Nadiah Kasumawati Abdul Karim telah kembali ke Rahmatullah pada 15 Januari lalu (Khamis) kira-kira pukul 8.05 pagi.

“Terima kasih kepada semua yang tidak henti-henti menitipkan doa buat mama. Mohon doakan arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman, diampunkan segala dosanya dan dirahmati Allah,” tulisnya.

Menurut kenyataan tersebut, arwah meninggal dunia akibat sakit jantung dan telah dibawa ke hospital pada hari yang sama beliau tiba di Lapangan Terbang Jeddah. Bagaimanapun, pihak keluarga hanya dimaklumkan mengenai pemergian arwah pada jam 11.10 malam oleh agensi pelancongan yang menguruskan perjalanan tersebut.

Pemergian Nadia turut disahkan oleh suaminya, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, serta sahabat baiknya yang juga pelakon, Anne Abdullah menerusi media sosial masing-masing.

Terdahulu, Nadia Kesuma, 49, yang pernah membintangi filem Syaitan Munafik dan Kudeta, dilaporkan hilang tanpa dapat dikesan selepas tiba di Jeddah pada Rabu lalu. Arwah merupakan antara 21 jemaah yang menyertai kumpulan umrah dan ziarah anjuran sebuah agensi pelancongan dari 14 hingga 28 Januari ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat