PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan agar melaksanakan tanggungjawab mereka dengan berbahas secara konstruktif sepanjang Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 yang bermula Isnin ini.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, peringatan itu disampaikan Perdana Menteri ketika sesi taklimat prapersidangan Dewan Rakyat bersama Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, di sini, pada Ahad.
Menurut Fahmi, Anwar menekankan kepentingan memberi fokus kepada tugas sebagai wakil rakyat, bukan sekadar hadir dalam sidang Parlimen.
“Perdana Menteri menyampaikan pesanan supaya Ahli Parlimen memberikan tumpuan penuh kepada tanggungjawab mereka.
“Secara umumnya, beliau mengingatkan bahawa sebagai Ahli Parlimen, kita bukan hanya perlu hadir, tetapi juga berbahas dengan baik dan berhemah dalam persidangan,” katanya, seperti dipetik berita tempatan.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, sesi taklimat selama kira-kira dua jam bermula jam 2.30 petang itu turut menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim antara Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara Kerajaan Perpaduan menjelang persidangan Parlimen.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengesahkan empat rang undang-undang (RUU) utama menjadi keutamaan kerajaan untuk dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini.
RUU tersebut melibatkan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh, pemisahan kuasa antara Pendakwa Raya dan Peguam Negara, RUU Ombudsman 2025 serta RUU berkaitan Akta Kebebasan Maklumat.

Terdahulu, Perdana Menteri meninggalkan Kompleks Seri Perdana pada jam 4.20 petang selepas mempengerusikan sesi taklimat berkenaan dan sempat menyapa pengamal media yang berkampung bagi mendapatkan perkembangan terkini.
Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 dijadual bermula Isnin dengan istiadat pembukaan yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Sidang Parlimen akan diteruskan dengan sesi soal jawab menteri pada minggu ketiga persidangan bermula 4 hingga 10 Februari, sebelum pembentangan rang undang-undang dan urusan kerajaan lain dari 11 Februari hingga 3 Mac.
Baca juga:








