SEPANYOL: Sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh dan puluhan lagi cedera selepas pertembungan antara dua kereta api berkelajuan tinggi di selatan Sepanyol pada petang Ahad, menurut pihak berkuasa.
Memetik laporan BBC News, insiden berlaku berhampiran bandar Adamuz, berdekatan dengan kota Cordoba, apabila sebuah kereta api laju dari Malaga ke Madrid tergelincir dan melanggar landasan bersebelahan, kata pengendali rangkaian kereta api Adif.
Sebuah lagi kereta api yang datang dari arah bertentangan, dari Madrid ke Huelva turut tergelincir.
Perkhidmatan kecemasan Andalusia memaklumkan sekurang-kurangnya 25 orang cedera parah, manakala yang lain mengalami kecederaan ringan.
Menurut Adif, nahas berlaku kira-kira sepuluh minit selepas kereta api berlepas dari Malaga pada pukul 18:40 waktu tempatan (17:40 GMT).
Semua perkhidmatan kereta api antara Madrid dan Andalusia digantung selepas kejadian itu.
Iryo, syarikat kereta api swasta yang mengendalikan perjalanan dari Malaga, mengesahkan insiden tergelincir tersebut dan menyatakan sekitar 300 penumpang berada di dalam tren berkenaan.
Raja Felipe VI dan Permaisuri Letizia berkata, mereka mengikuti perkembangan tragedi itu ‘dengan penuh kebimbangan’.
“Kami merakamkan ucapan takziah yang paling tulus kepada keluarga dan orang tersayang mangsa yang terkorban serta doa dan harapan agar mereka yang cedera segera pulih,” kata pihak istana diraja di platform X.
Salvador Jimenez, seorang wartawan RTVE yang berada di salah satu kereta api berkata, ada penumpang yang berjaya keluar tanpa kecederaan serius.
“Saya berada di gerabak pertama. Tiba-tiba terasa seperti gempa bumi dan kereta api benar-benar tergelincir.
“Mereka segera memanggil jika ada petugas kesihatan yang boleh membantu, mereka menggunakan tukul untuk memecahkan tingkap dan akhirnya kami semua berjaya dipindahkan,” katanya.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sánchez berkata, kerajaan sedang bekerjasama dengan pasukan kecemasan untuk membantu mangsa, manakala Presiden wilayah Andalusia, Juanma Moreno, menyuarakan kebimbangan serta sokongan kepada mangsa dan keluarga mereka.







