Pempengaruh media sosial, Alif Teega yang juga suami kepada usahawan pempengaruh, Aisyah Hijanah mendedahkan dia sudah berkahwin kali kedua pada 18 November lalu.
Menerusi perkongsian di laman Instagram, Alif berkata, tujuan dia berkongsi status baharunya itu sekali gus menjawab teka-teki dakwaan dia sudah berkahwin dan mengamalkan poligami.
Katanya, pendedahan itu juga diharapkan dapat mengenalkan fitnah dan mengharapkan agar masyarakat tidak melontarkan kata negatif buat dirinya sekeluarga.
“Mungkin selama ini ada yang terdengar atau memang tahu berita mengenai saya sudah bernikah. Baik, Alhamdulillah berita itu adalah benar. Saya sudah pun bernikah. Saya harap tidak dipanjangkan lagi isu ini.
“Terima kasih kepada isteri (pertama) saya Aisyah Hijanah kerana bersabar dengan apa yang berlaku serta tabah dan kuat berada di sisi menemani saya walaupun saya tahu perit bagi mana-mana wanita untuk menerima hakikat ini,” ujarnya.
Menurut Alif, perkahwinan kedua itu bukan satu hal yang mudah buat isteri pertama, namun mengharapkan agar orang ramai mendoakan hubungan mereka berkekalan.
“Selama Aisyah menjadi isteri saya, tiada sebarang kekurangan. Doa saya agar Allah hanya kekalkan kami sehingga ke syurga. Tapi percaturan Allah buat saya dan Aisyah adalah berbeza.
“Terima kasih atas doa daripada kalian semua buat kami. Aisyah adalah wanita pilihan Allah dan Subhanallah kuatnya dia luar biasa dan saya juga takjub dengan kekuatannya dalam hadapi setiap ujian yang datang.
“Saya tak rasa wanita lain sanggup berada di tempat dia. Saya mohon agar tiada mana-mana pihak membuat sebarang spekulasi dan hinaan mengenai hal ini dan biarlah segala yang berlaku diakhiri di sini sahaja,” katanya yang tidak menjelaskan secara terperinci mengenai identiti isteri keduanya itu.
Dalam pada itu, Aisyah turut mendoakan kebahagiaan Alif bersama madunya selain mengharapkan agar masyarakat tidak melemparkan komen negatif pada perkahwinan baharu mereka.
“Doakan yang baik-baik buat kami berdua. Saya mohon agar tidak berkata yang buruk kepada Alif mahupun isteri barunya,” tulisnya.
Sebelum ini, Aisyah mendedahkan perkahwinannya diganggu dengan kehadiran orang ketiga yang turut dipercayai merupakan kakitangannya sendiri selain mendapatkan rawatan Islam kerana dipercayai terkena gangguan sihir.
Untuk rekod Alif dan Aisyah mendirikan rumah tangga pada 2017 dan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata.
Baca juga: