Ekonomi Malaysia Kekal Rancak, Bukti Strategi Kerajaan MADANI Berkesan – Menteri

PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia terus mencatat pertumbuhan kukuh meskipun berdepan cabaran global yang tidak menentu, sekali gus membuktikan keberkesanan hala tuju serta strategi yang digerakkan oleh Kerajaan MADANI.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, anggaran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Awalan bagi suku keempat 2025 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Negara (DOSM) menunjukkan ekonomi negara dijangka berkembang sebanyak 5.7 peratus.

“Pencapaian ini memberi petunjuk awal mengenai prestasi semasa ekonomi negara.

“Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran global dan persekitaran luaran yang tidak menentu, ekonomi Malaysia diunjurkan mencatat pertumbuhan 4.9 peratus bagi tahun 2025, melebihi unjuran rasmi antara 4.0 hingga 4.8 peratus,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Menurut Akmal, tiga bulan terakhir tahun 2025 memperlihatkan rentak pertumbuhan yang semakin rancak, didorong oleh pengukuhan permintaan domestik serta peningkatan sektor perkhidmatan dan pembuatan.

“Berdasarkan anggaran KDNK awalan ini, pertumbuhan KDNK bagi tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), iaitu pencapaian tahun 2021 hingga 2025 dianggarkan sebanyak 5.2 peratus setahun, melebihi anggaran awalan pencapaian seperti yang dinyatakan dalam dokumen Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13),” katanya.

Beliau berkata, kejayaan itu turut dipacu oleh lebih 170 inisiatif pembangunan sosioekonomi yang dilaksanakan sepanjang RMK ke-12.

Selain itu katanya, impak program bantuan tunai bersasar seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) juga jelas mendorong pengukuhan perbelanjaan isi rumah.

“Ini merupakan momentum positif bagi mencerminkan asas ekonomi Malaysia kekal kukuh dan berdaya saing.

“Tahun 2026 merupakan permulaan fasa pelaksanaan RMK13 dan Kementerian Ekonomi komited dalam memastikan setiap inisiatif diterjemah kepada hasil yang nyata dan dirasai oleh rakyat secara keseluruhan,” katanya.

Tambah Akmal, Kerajaan MADANI yakin negara berada di landasan tepat untuk merealisasikan aspirasi Ekonomi MADANI melalui RMK13 bertemakan “Melakar Semula Pembangunan”.

“Sekali gus mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030,” katanya.

Anda Mungkin Berminat