Anwar Tekad Pastikan Titah Agong Jadi Agenda Reformasi

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen kerajaan untuk menjadikan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sebagai panduan utama dalam agenda reformasi negara.

Dalam satu hantaran di Facebook selepas menghadiri Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen ke-15 pagi tadi, Anwar menekankan bahawa kerajaan akan memberi tumpuan penuh terhadap usaha membanteras rasuah, memperkukuh institusi serta memastikan perpaduan nasional terus terpelihara.

“Moga persidangan kali ini akan membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat dan negara dari sudut perkembangan ekonomi dan kemajuan negara tercinta kita semua, dengan hendak-Nya, Insya-Allah,” kata beliau.

Titah Tuanku sebelum itu menegur keras amalan rasuah yang disifatkan sebagai ‘pengkhianatan kepada negara’ dan menggesa agar ia diperangi habis-habisan.

Baginda turut menekankan keperluan reformasi institusi, pendidikan berteraskan Dasar Pendidikan Kebangsaan serta perpaduan antara wilayah.

Anwar berkata, kerajaan pimpinannya akan memastikan segala teguran dan nasihat baginda diterjemahkan dalam bentuk dasar serta tindakan konkrit.

Tambah beliau, agenda reformasi bukan sekadar slogan tetapi satu komitmen untuk menjamin kesejahteraan rakyat dan integriti pentadbiran negara.

Dengan sokongan Parlimen, Anwar optimis sidang kali ini akan menjadi titik tolak kepada usaha memperkukuh ekonomi, mempertingkatkan sistem pendidikan dan membina negara yang lebih bersatu padu.

Anda Mungkin Berminat