46 Kilogram Bunga Ros Segar Dirampas Di KLIA – AKPS

SEPANG: Cubaan membawa masuk bunga ros segar dari India tanpa kebenaran sah menemui noktah di pintu masuk negara apabila Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) KLIA berjaya mengesan dan merampas komoditi tersebut dalam satu pemeriksaan rutin di Zon Bebas Cukai (FCZ) Kargo KLIA.

Rampasan dilakukan sekitar pukul 1.00 petang pada 18 Januari, melibatkan tiga kotak berisi bunga ros segar seberat 46 kilogram.

Pemeriksaan lanjut mendapati bunga-bunga tersebut diimport tanpa Permit Import daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), sekali gus melanggar undang-undang di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) KLIA melalui Bahagian Pemeriksaan Barangan telah merampas komoditi pertanian berupa bunga ros segar yang diimport tanpa Permit Import Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dalam satu pemeriksaan di FCZ Kargo KLIA, semalam (Ahad).

“Rampasan itu bukan sekadar soal dokumen ia menyentuh isu keselamatan biosekuriti negara.

“Tanpa kawalan ketat, kemasukan komoditi pertanian dari luar negara berisiko membawa penyakit tumbuhan, serangga perosak atau bahan cemar yang boleh menjejaskan ekosistem dan sektor pertanian tempatan,” katanya.

AKPS menegaskan komitmen berterusan dalam memperketat kawalan kemasukan barangan pertanian demi melindungi keselamatan biosekuriti negara.

Kesemua bunga ros yang dirampas kini ditahan untuk tindakan lanjut mengikut prosedur dan peruntukan undang-undang.

AKPS menyeru semua pengimport agar mematuhi peraturan dan mendapatkan permit sah sebelum membawa masuk barangan pertanian ke Malaysia.

Anda Mungkin Berminat